ABDUL Hakim sentiasa pastikan ladang tebu dalam keadaan bersih. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ABDUL Hakim sentiasa pastikan ladang tebu dalam keadaan bersih. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail

USIANYA baru sahaja 29 tahun namun mempunyai pengetahuan luas dan minat mendalam terhadap bidang pertanian.

Melihat potensi luas dalam bidang itu, Abdul Hakim Abu Bakar mengusahakan penanaman tebu telur secara sepenuh masa di Kampung Pulau Raja, Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan sejak tahun lalu.

Lebih unik, tanaman ini diusahakan di ladang kelapa yang sudah dijalankan selepas menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Hasil daripada jualan santan itu, dijadikan modal untuk memulakan penanaman tebu telur.

Abdul Hakim berkata, dia memilih untuk serius dengan penanaman tebu telur selepas tanaman ini memiliki pasaran yang luas kerana mendapat permintaan tinggi sehingga ke Singapura namun masih tidak mencukupi.

"Menyedari perkara itu, saya nekad untuk terbabit secara serius dengan penanaman tebu telur bersama ayah dan adik di atas tanah seluas 1.2 hektar.

"Alhamdulillah, selepas sembilan bulan, saya mula menuai hasil sehingga 10 tan sejak bulan lalu," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Biarpun tidak memiliki latar belakang dalam bidang pertanian, Abdul Hakim berani menongkah arus untuk menjadikan bidang itu sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

HASIL yang dikutip pada setiap hari. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HASIL yang dikutip pada setiap hari. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Pada saya untuk memulakan sesuatu perkara ilmu sangat penting. Oleh itu, saya bermula dengan menyertai kursus mengenai tanaman ini anjuran Koperasi Pembangunan Usahawan Bestari Johor Berhad di Pahang.

"Di sini, saya diajar pelbagai perkara mengenai proses penanaman sehingga proses selepas tuaian tebu telur. Saya juga sering menerima nasihat daripada Jabatan Pertanian Tumpat," katanya.

Menurutnya, dia menggunakan dua sistem iaitu lubang dan parit untuk uji keberkesanan terhadap tanamannya.

"Tanaman ini memerlukan penjagaan konsisten termasuk pemberian baja, racun serangga dan air.

"Selepas sembilan bulan ke atas ditanam, tebu yang sudah mencapai ketinggian 2.1 meter ke atas boleh dituai.

"Uniknya, tebu ini keluar bersama 'anaknya,' yang boleh dituai dalam tempoh tiga bulan selepas 'ibunya' dituai. Proses ini akan berterusan dalam tempoh tiga hingga empat tahun," katanya.

Mengulas lanjut, penanaman tebu telur ini sangat mudah namun memerlukan penjagaan rapi supaya pertumbuhan tidak terbantut.

"Pada usia tiga hingga empat bulan, apabila daunnya terbuka sendiri, petani perlu cabut daun untuk elakkan serangan ulat.

AIR tebu telur yang mendapat permintaan tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AIR tebu telur yang mendapat permintaan tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Serangan ulat pengorek batang boleh mengakibatkan pertumbuhan tebu terbantut, sekali gus menurunkan kualitinya.

"Pengawalan rumpai juga perlu dilakukan untuk elakkan kehadiran ular dan tikus yang boleh membahayakan keselamatan pekerja," katanya.

Selain itu, Abdul Hakim turut berdepan cabaran musim kemarau kerana tanah tidak dapat menyimpan air dalam tempoh lama untuk dibekalkan kepada tanamannya.

"Oleh itu, saya perlu memasang sistem pengairan sebagai persediaan untuk hadapi musim kemarau," katanya.

Beliau berkata, tebu telur memiliki kelebihan tersendiri berbanding tebu lain sehingga ia mendapat permintaan tinggi.

"Tekstur kulit dan isinya lebih rapuh dan lembut. Selain itu, aroma air tebu ini lebih wangi serta warnanya lebih terang," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Abdul Hakim berkata, selepas Syawal ini, dia bakal memulakan penanaman tebu telur untuk fasa kedua bagi memenuhi permintaan pasaran.

"Saya juga merancang untuk membina kilang memproses air tebu untuk dieksport ke luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 6:30 AM