X
RAKAN penulis merakam kenangan ‘bersama’ sekumpulan gajah liar yang berhijrah dari kawasan kering ke padang dan tasik savana di Kaudulla. FOTO Asyraf Maskan
RAKAN penulis merakam kenangan ‘bersama’ sekumpulan gajah liar yang berhijrah dari kawasan kering ke padang dan tasik savana di Kaudulla. FOTO Asyraf Maskan
Asyraf Maskan


Sambungan minggu lalu

SETIBA di hadapan pintu kompleks Sigiriya, terdapat binaan sistem perparitan dan taman yang boleh dikatakan maju pada ketika itu.

Apabila melangkah ke bahagian kolam, terbayang betapa majunya tamadun Indus dan Mesopotamia seperti yang diceritakan dalam buku teks Sejarah.

Berjalan hampir empat kilometer (km), dari jauh kelihatan seketul batu besar seolah-olah berbentuk singa. Apabila mendekati bukit berbatu itu, ada tangga daripada batuan berwarna jingga dan berdebu.

Batuan ini agak licin kerana berdebu halus ditambah cuaca kering.

Sebaik melewati laluan ke atas puncak, pengunjung pasti terpegun dengan beberapa lukisan dan tulisan purba.

Menurut cerita, tulisan purba itu berbentuk puisi dibuat setiap kali mendapat kunjungan daripada kerajaan luar sebagai tanda penghargaan.

PEMANDANGAN cahaya senja yang memasuki ruang tengah Masjid Jamil Ul Alfar. FOTO Asyraf Maskan
PEMANDANGAN cahaya senja yang memasuki ruang tengah Masjid Jamil Ul Alfar. FOTO Asyraf Maskan

Setibanya di puncak kelihatan beberapa struktur binaan yang persis Machu Picchu di pergunungan Andes di Peru.

Banyak yang boleh dipelajari sepanjang berada di kompleks binaan Raja Kashyapa termasuk kisah baginda yang membunuh diri dengan tusukan pedang saat Sigiriya diserang adiknya sendiri, Moggallana kerana ingin merebut takhta.

Sekitar kompleks Sigiriya, terdapat banyak rumah tumpangan walaupun di sini kawasannya agak tersorok.

Pengalaman bermalam dengan sebuah keluarga di sini amat bermakna apabila mereka menyajikan beberapa makanan tempatan yang jarang dapat dinikmati.

Kebetulan pada malam itu penulis dimaklumkan sekumpulan gajah berhijrah dari kawasan yang kontang ke kawasan berair kerana musim kering.

Oleh kerana tertarik untuk melihat gajah yang berhijrah, penulis mendapat pelawaan untuk menaiki pacuan empat roda ke kawasan tasik luas seperti safari di sebuah kawasan bernama Kaudulla.

Sepanjang perjalanan di Sri Lanka, Kandy adalah sebuah kota damai yang berat untuk ditinggalkan.

LAKARAN bangunan bersejarah, Tooth Relic Temple yang dibuat penulis. FOTO Asyraf Maskan
LAKARAN bangunan bersejarah, Tooth Relic Temple yang dibuat penulis. FOTO Asyraf Maskan

Setiap hari, senyuman ramah penduduknya tidak pernah lekang menguatkan andaian mengapa penjara di sini menjadi bangunan tinggal tidak berpenghuni.

Kandy adalah sebuah kota bersejarah dan mempunyai banyak pengaruh kolonial.

Tarikan utama di sini ialah The Tooth Relic Temple di tengah-tengah kota Kandy.

Kandy juga kaya dengan budaya dan tradisi Kandyan.

Terdapat persembahan tarian tradisional yang hampir setiap hari diadakan untuk menarik ramai pelancong ke sini.

Antara eleman yang kuat dimainkan dalam tradisi Kandyan ialah api manakala suasana senja di Masjid Jamil Ul Alfar, Colombo nyata cukup menarik.

PERJALANAN berkereta api dari Colombo ke Hatton perkenalkan pengunjung dengan budaya dan cara hidup masyarakat tempatan. FOTO Asyraf Maskan
PERJALANAN berkereta api dari Colombo ke Hatton perkenalkan pengunjung dengan budaya dan cara hidup masyarakat tempatan. FOTO Asyraf Maskan

Penjaga masjid menemani sampai ke tingkat atas untuk menunjukkan pemandangan Colombo ketika matahari terbenam.

Masjid ini menjadi antara tempat persinggahan kerana posisinya yang begitu unik, tersepit antara dua blok bangunan kedai.

Pada mulanya penulis hampir sesat ketika mencari masjid ini kerana susunan blok kedai hampir sama dan mengelirukan. Lokasi masjid ini sebenarnya tidak jauh dari stesen kereta api.

Warna binaannya sedikit garang dengan batuan blok merah dan kelihatan menyerlah di antara barisan blok kedai di situ.

Terdapat beberapa masjid lain di Colombo kerana rata-rata di sini, terdapat beberapa kawasan didiami masyarakat Melayu Sri Lanka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 6:30 AM