MELANCONG dengan normal baharu.
MELANCONG dengan normal baharu.
Muhamaad Razis Ismail

BEBERAPA penyelidikan saintifik menunjukkan mengembara ke tempat baharu dapat meningkatkan tahap kesihatan fizikal, mental dan emosi.

Dalam laporan yang diterbitkan pada 2018 oleh seorang pakar psikologi dan pengarang buku bertajuk Psychodynamic Perspectives of Aging and Illness, Dr Tamara McClintock Greenberg mendapati melancong atau mengembara dapat merehatkan diri daripada kesibukan harian untuk ketenangan hati dan minda.

Oleh itu, melancong kini dijadikan sebagai hobi atau kerjaya bagi kebanyakan orang dewasa.

Bagaimanapun, keadaan itu mula berubah dengan penularan pandemik Covid-16 sejak hujung tahun lalu memberi kesan serius kepada hampir semua sektor termasuk pelancongan.

Situasi ini bukan saja berlaku di negara ini malah seluruh dunia terjejas teruk dan hampir lumpuh apabila aktiviti pelancongan tidak dapat dijalankan seperti kebiasaan.

Banyak negara termasuk Malaysia menutup sementara sempadan mereka daripada kehadiran pelancong luar bagi memutuskan rantaian pandemik ini.

Bukan itu saja, banyak syarikat penerbangan tidak dapat beroperasi sekali gus menyukarkan aktiviti melancong.

SUZAI Dathul memilih untuk melancong secara kembara beg galas untuk memudahkannya mengawal perbelanjaan dan jadual perjalanan.
SUZAI Dathul memilih untuk melancong secara kembara beg galas untuk memudahkannya mengawal perbelanjaan dan jadual perjalanan.

Biarpun keadaan hampir kembali pulih, masih ramai yang meminati aktiviti melancong dan mengambil sikap tunggu serta lihat untuk memastikan keadaan benar-benar selamat.

Mereka berpendapat kesihatan perlu diutamakan berbanding perlu menggadaikan nyawa semata-mata mahu meneruskan aktiviti melancong yang dilakukan setiap tahun.

Bagi jurutera, Suzai Dathul Ezaidah berkata, dia sering memberi ganjaran kepada diri sendiri dengan melancong ke pelbagai tempat kerana ia cara terbaik mengurangkan tekanan.

"Saya gemar melakukan kembara beg galas kerana dapat merancang perbelanjaan dan jadual perjalanan sendiri.

"Malah saya sentiasa teruja apabila sampai ke destinasi kerana sebelum ke mana-mana, banyak kajian dilakukan bagi memudahkan perjalanan percutian.

"Saat inilah yang membuat saya berasa seperti mimpi menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata, susulan pandemik Covid-19, dia belum pasti masa sesuai untuk kembali melancong ke luar negara.

"Walaupun banyak negara sudah mula dibuka untuk pelancongan, saya rasa kita perlu menangguhkan rancangan melancong ke tahun hadapan.

"Sebenarnya penangguhan ini ada hikmahnya kerana saya dapat menyimpan wang untuk percutian yang akan datang dan simpanan peribadi," katanya.

Menurutnya, sekiranya diberi kesempatan mengembara dia akan mengelakkan berada di tempat yang sesak.

NG menunda semua rancangan untuk melancong kerana Covid-19.
NG menunda semua rancangan untuk melancong kerana Covid-19.

"Bagaimanapun, jika tidak mempunyai pilihan lain, saya akan berhati-hati untuk mengurangkan risiko jangkitan.

"Oleh kerana masih ada sejumlah kes yang dilaporkan, saya mengesyorkan kuarantin diri di rumah selepas pulang melancong, sekurang-kurangnya beberapa hari," katanya.

Katanya, dia sebenarnya merancang kembali ke Taiwan apabila keadaan bertambah baik.

"Saya tidak sabar meneroka sisi lain di Taiwan dan memahami negara itu dengan lebih baik.

"Pada tahun ini juga, saya merancang ke Iceland, tapi terpaksa ditunda ke tahun hadapan gara-gara Covid-19," katanya.

Blogger dan YouTuber sepenuh masa khusus untuk kandungan pelancongan, Wilson Ng, berkata, secara purata setiap tahun dia akan mengembara ke 20 destinasi dalam serta luar negara.

"Malah pada tahun ini saja saya membuat rancangan menjelajah Australia, Taiwan, Thailand dan beberapa negara lain.

"Bagaimanapun, disebabkan Covid-19, segala rancangan tergendala dan secara tidak langsung mempengaruhi pendapatan memandangkan blog serta YouTube saya berkaitan pelancongan.

"Walaupun begitu, saya tetap positif dan mengambil kesempatan ini untuk mengimbas kembali pengembaraan lalu untuk kandungan blog serta YouTube,"katanya.

Katanya, mereka yang ingin melancong, boleh berbuat demikian ketika keadaan benar-benar reda selain mengamalkan normal baharu.

LOKASI pelancongan luar negara belum dapat sambutan.
LOKASI pelancongan luar negara belum dapat sambutan.

"Jika tiba saat dapat melancong dengan selamat, saya akan mempertimbangkan untuk melawat negara yang lebih dekat dengan Malaysia terlebih dahulu," katanya.

Dalam pada itu, bagi pengembara tegar, Rano Iskandar dari Brunei berkata, Covid-19 banyak mempengaruhi dirinya dalam pelbagai aspek.

"Kini tiada maklumat pelancongan baharu atau terkini untuk dikongsi bersama pengikut dan saya tidak dapat merasai pengalaman berada di tempat baharu ataupun tempat yang pernah dilawati sebelum ini.

"Bagaimanapun, kesihatan diri dan orang lain lebih penting. Oleh itu, saya nekad menangguhkan semua rancangan melancong buat masa ini," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini dia masih bimbang untuk melancong ke luar negara biarpun keadaan hampir pulih.

"Saya bimbang jika terkandas di negara asing dan perlu melalui tempoh pengasingan di sana. Ini bukanlah pengembaraan yang saya mahukan.

"Walaupun begitu, saya bersyukur kerana Brunei berjaya membendung wabak ini dengan tiada kes baharu dilaporkan sejak Mei dan buat masa ini, saya akan lebih fokuskan pada kandungan tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 6:30 AM