X
SULAIMAN menyemai benih untuk gantikan tanaman sudah dituai. FOTO Fadhli Hamzah
SULAIMAN menyemai benih untuk gantikan tanaman sudah dituai. FOTO Fadhli Hamzah
Nurul Husna Mahmud

LAMAN depan kediaman Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST), Sulaiman Salikan di Desa Pinggiran Putrajaya dipenuhi pelbagai tanaman termasuk sayur terung, bendi dan sayur berdaun.

Melihat setiap tanaman itu tumbuh dengan subur dan berbuah membuatkan andaian penulis bahawa aktivis semula jadi itu sudah lama menjalankan aktiviti pertanian di laman rumahnya.

Apatah lagi, ruang belakang rumah juga turut dipenuhi pokok jagung dan tanaman lain termasuk kacang tanah, bayam Brazil dan bendi.

Menurut Sulaiman, sebenarnya semua tanaman itu hanyalah hasil daripada tiga bulan 'berkurung' ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya hanya mula berkebun sejak tiga bulan lalu selepas 'mati kutu' kerana terpaksa berkurung dalam rumah ketika tempoh PKP. Selepas puas berkemas dalam rumah, aktiviti beralih mencantikkan ruang laman pula.

"Mengenai aktiviti menanam pokok, asasnya sedikit sebanyak ilmunya ditimba apabila sering bersama orang awam untuk program kesedaran menjaga alam sekitar dengan aktiviti itu (menanam pokok) sebagai satu daripada pengisiannya.

ZANA menggunakan racun mesra alam. FOTO Fadhli Hamzah
ZANA menggunakan racun mesra alam. FOTO Fadhli Hamzah

TANAH dirawat menggunakan komponen seperti tahi kambing, rumput kering dan mikroorganisma untuk tingkatkan kualiti. FOTO Fadhli Hamzah
TANAH dirawat menggunakan komponen seperti tahi kambing, rumput kering dan mikroorganisma untuk tingkatkan kualiti. FOTO Fadhli Hamzah

"Cumanya untuk sampai ke tahap ini iaitu dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran bagi kegunaan keluarga terutama isteri memetik dan memasaknya tidak terfikir disebabkan terlalu sibuk dengan tuntutan tugas selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini, katanya.

Kata Sulaiman, pengalaman memulakan aktiviti berkebun di laman rumah dalam tempoh PKP juga sukar kerana tiada alat dan biji benih untuk menanam atas faktor kebanyakan nurseri ditutup.

"Anak benih saya dapatkan daripada kakak, Rohaya, 60 dan kemudian dibantu menerusi nasihat suami beliau, Ab Kahar Sandarang, 60, pesara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

"Daripada abang ipar itu juga saya faham elemen penting dalam memulakan kerja menanam termasuk mempunyai medium baik iaitu tanah elok dan subur, biji benih, kaedah penjagaan iaitu baja dan racun yang mampu melindungi daripada serangan serangga perosak," katanya.

Dia turut mendapat bantuan rakan, Isa Saad yang memiliki nurseri di Dengkil, Selangor untuk mendapatkan biji benih.

PLOT kebun poket yang meriah dengan pelbagai tanaman. FOTO Fadhli Hamzah
PLOT kebun poket yang meriah dengan pelbagai tanaman. FOTO Fadhli Hamzah

TIGA aras tanaman menghiasi laman rumah Sulaiman. FOTO Fadhli Hamzah
TIGA aras tanaman menghiasi laman rumah Sulaiman. FOTO Fadhli Hamzah

Kebanyakan sayur-sayuran dan pokok buah-buahan di laman rumahnya itu menggunakan kaedah lebih mesra alam atau lestari.

"Saya bercucuk tanam untuk di makanan sendiri dan lebih teliti terutama pemilihan baja dan racun serangga tidak mengandungi bahan kimia atau racun berbahaya.

"Seboleh-bolehnya saya mahu capai 80 peratus kaedah pertanian lestari dan antara kaedah diguna pakai termasuk guna baja tahi ayam serta tahi kambing selain dibuat sendiri iaitu air beras yang diperam bersama kepingan roti.

"Racun pula, saya cuba guna kaedah air sabun direndam bersama bawang putih dan air puntung rokok kerana lebih mesra alam serta tidak berbahaya kepada pengguna," katanya.

Bagi mengindahkan laman kediamannya itu, kata Sulaiman, tiga aras susun atur membezakan jenis tanaman iaitu bagi pokok berdaun ditanam di dalam pasu, pokok berbuah di atas tanam dan tanaman menjalar paling atas berbanding kedudukan dua tanaman terbabit.

Kata Sulaiman, perkongsian mengenai tanaman sayur-sayuran sebagai landskap menghijaukan kediaman itu diharap dapat menarik perhatian lebih banyak pihak dalam aktiviti terbabit.

SUASANA di belakang rumah Sulaiman dengan pelbagai tanaman. FOTO Fadhli Hamzah
SUASANA di belakang rumah Sulaiman dengan pelbagai tanaman. FOTO Fadhli Hamzah

"Saya mendapat sokongan penuh isteri, Dr Siti Zuhaida Hussein selain empat anak yang turut sama membantu berkebun. Lagi bermakna kalau lebih ramai orang dapat lakukan perkara sama menjaga alam dengan menanam pokok di laman rumah," katanya yang turut melancarkan kempen #Fight4OurPlanet untuk galakkan masyarakat menjaga alam sekitar dengan aktiviti berkebun.

Usahanya itu turut mendapat perhatian komuniti kejiranan termasuk Zana Mohd Khalid, 42, yang juga memulakan aktiviti bercucuk tanam di kawasan kediamannya, baru-baru ini.

"Saya dan tiga lagi jiran tertarik apabila melihat kebun diusahakan Sulaiman sudah mengeluarkan hasil. Jadi kami belajar mengenai cara rawatan tanah yang banyak membantu kesuburan tanaman jarang diketahui sebelum ini.

"Dulu saya ingat setiap kali menanam pokok itu mati disebabkan 'tangan panas.' Sebaik belajar teknik terutama rawatan tanah dan penggunaan baja sesuai hasilnya bukan saja hidup malah saiz daun serta pokok semuanya 'gemuk' membuatkan masa diperuntukkan untuk berkebun berbaloi, katanya.

HASIL kebun Sulaiman boleh dilihat di laman rumahnya. FOTO Fadhli Hamzah
HASIL kebun Sulaiman boleh dilihat di laman rumahnya. FOTO Fadhli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 7:00 AM