MOHD Fareed (kanan) ketika mengadakan bengkel tanaman hidroponik dengan komuniti kejiranan.
MOHD Fareed (kanan) ketika mengadakan bengkel tanaman hidroponik dengan komuniti kejiranan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


LATAR belakang pendidikannya jauh sekali bukan dalam bidang pertanian, namun kerana minat, lulusan bidang kejuruteraan perisian, Mohd Fareed Abdul Ghani, 33, kini mengusahakan perniagaan tanaman hidroponik, MykebunHidro.

Selain itu, pegawai teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta ini juga sering meluangkan masa mengadakan bengkel mini dengan komuniti kejiranan untuk berkongsi ilmu berkaitan kaedah penanaman hidroponik.

Semuanya dilakukan dek minat mendalam terhadap tanaman selain hasratnya yang mahu melestarikan kaedah bercucuk tanam di negara ini.

Menurut Mohd Fareed, berbanding kaedah penanaman lain, hidronik semakin digemari masyarakat kerana ia bukan saja lebih mudah malah menjimatkan masa.

RUMAH hijau turut dibina untuk memastikan tanaman terpelihara.
RUMAH hijau turut dibina untuk memastikan tanaman terpelihara.

Katanya, ia permulaan sesuai bagi mereka yang ingin mula berkebun kerana hanya beberapa barangan diperlukan selain bekas tanaman juga mudah untuk dibuat sendiri contohnya botol terpakai dan polisterin.

"Kaedah penanaman hidroponik juga semudah ABC kerana hanya memerlukan air (A), baja (B) dan cahaya (C).

"Ia juga tidak memerlukan ruang atau kawasan tanah yang luas. Semua kelebihan itu menjadikan kaedah penanaman ini paling sesuai bagi mereka yang tinggal di kediaman jenis pangsapuri atau rumah teres dengan keluasan tanah terhad," katanya kepada Agro.

Mengulas lanjut pembabitannya dalam bidang berkenaan,

HASIL tanaman subur menggunakan kaedah hidroponik.
HASIL tanaman subur menggunakan kaedah hidroponik.

Mohd Fareed berkata, semuanya bermula sebagai hobi kira-kira tiga tahun lalu.

Kata Mohd Fareed, dia banyak mempelajari teknik penanaman menerusi kaedah pembelajaran dalam talian selain menyertai pelbagai kursus anjuran pihak swasta.

"Dalam tempoh itu, pelbagai kaedah penanaman lain turut dicuba antaranya akuaponik dan fertigasi namun hidroponik menjadi pilihan utama kerana ia paling mudah dijaga.

"Selain itu, kos untuk mengusahakan tanaman secara hidroponik juga lebih efektif dan tahan lama.

"Antara tanaman yang sesuai adalah jenis jangka masa pendek seperti bayam, pak chow sawi dan salad," katanya yang turut membina rumah hijau untuk memastikan tanamannya terpelihara.

Jelas Mohd Fareed, secara umumnya ada banyak jenis penanaman hidroponik, namun yang paling popular adalah kaedah bertakung, Deep Flow Technique (DFT) iaitu akar terendam separuh dan Nutrient Film Technique (NFT).

SISTEM NFT antara kaedah hidroponik terbaik.
SISTEM NFT antara kaedah hidroponik terbaik.

Kata Mohd Fareed, antara semua kaedah itu, sistem tanaman hidroponik NFT paling baik kerana ia menyediakan lebih banyak udara dan air kepada tanaman. Katanya, dia turut menerima tempahan membina sistem NFT dan DFT daripada orang ramai dan ia boleh disesuaikan dengan kehendak pelanggannya.

"Sistem asas tanaman hidrponik NFT misalnya hanya RM200 sahaja bagi panjang kira-kira empat kaki.

"Ia lengkap dengan pam, baja, benih tanaman dan sebagainya, jadi pelanggan sudah boleh memulakan tanaman.

"Saya tidak mengejar keuntungan sebaliknya mahu mengajak lebih ramai menceburi bidang tanaman hidroponik kerana ia bukan saja menghasilkan sayuran yang lebih menyihatkan malah turut membantu melestarikan alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:45 AM