BONYAMIN menyusun beg plastik yang sudah siap diisi lada solok untuk di hantar ke RTC Kota Bharu.
BONYAMIN menyusun beg plastik yang sudah siap diisi lada solok untuk di hantar ke RTC Kota Bharu.
Ramli Ibrahim


Berkat kegigihan mengusahakan tanaman lada solok, memberi kejayaan kepada individu di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan ini apabila memberi pulangan hasil lumayan.

Malah, 1,300 pokok ladang solok yang ditanam di kawasan satu hektar itu dapat mengeluarkan hasil kira-kira 300 hingga 400 kilogram seminggu mampu memenuhi pasaran.

Bonyamin Mat Noh, 52, berkata, tanaman lada solok secara fertigasi sejak 10 bulan lalu tidak mengambil masa panjang untuk mengeluarkan hasil iaitu hanya lima bulan selepas ditanam.

Dia cuba tanam lada itu peringkat percubaan dengan 300 pokok sebelum diperluaskan kepada 1,300 selepas permintaan semakin bertambah.

Hasil lada solok itu dihantar ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung Kota Bharu seminggu sekali kerana permintaan tinggi daripada pemborong.

"Alhamdulillah, apa yang saya usahakan selama ini sudah membuktikan kejayaan dan saya akan menanam lada itu untuk pusingan seterusnya.

"Lagipun, harga lada solok tetap tinggi walaupun ada persaingan dengan kemasukan daripada negara jiran," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut Bonyamin, dia mengisi lada solok itu dalam satu plastik sebanyak lima kilogram dan dijual pada
RM45 setiap satu beg plastik.

Pernah pasaran lada itu mencecah RM100 bagi setiap beg plastik seberat lima kilogram sebelum turun semula

kepada RM45 sekarang.

BONYAMIN menunjukkan setiap beg plastik diisi lima kilogram lada solok untuk dipasarkan.
BONYAMIN menunjukkan setiap beg plastik diisi lima kilogram lada solok untuk dipasarkan.

Katanya, tanaman lada solok itu bukan saja memberi peluang pekerjaan kepada ahli keluarga sendiri, tetapi juga penduduk kampung.

"Di samping itu, saya juga turut membeli lada yang diusahakan penduduk sekitar kampung untuk memberi sumber pendapatan kepada mereka," katanya.

Sayur-sayuran lain ada juga dipasarkan, tetapi permintaan tidak sama dengan lada solok yang tidak pernah mencukupi dan permintaan bertambah.

Katanya, mengusahakan tanaman lada solok itu juga bukan kerja mudah kerana sentiasa berada dalam kebun mengawal musuh tanaman.

PEKERJA Bonyamin mengisi 400 kilogram lada solok ke dalam plastik.
PEKERJA Bonyamin mengisi 400 kilogram lada solok ke dalam plastik.

Malah dia mengakui kejayaan dalam mengusahakan tanaman ladang solok tidak mungkin dicapai tanpa bantuan isterinya, Zilawani Mustafa, 37.

Jika cuti hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu, dia turut dibantu tiga anaknya berusia antara 10 hingga 17 tahun.

"Saya menimba pengalaman mengusahakan tanaman ini daripada rakan di daerah lain di Kelantan.

"Tetapi kaedah tanamannya lain daripada saya lakukan menerusi fertigasi yang menjimatkan tanah dan mudah subur, "katanya.

BONYAMIN menimbang sendiri setiap beg plastik yang diisi dengan lada solok.
BONYAMIN menimbang sendiri setiap beg plastik yang diisi dengan lada solok.

Sementara itu, Zilawani pula berkata, suaminya itu banyak menghabiskan masa seharian di kebun dan syukur kepada Tuhan kerana usaha yang dilakukan itu memberi pulang lumayan.

"Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak penularan pandemik Covid-19 bermula 18 Mac lalu juga membuatkan saya memberi tumpuan kepada berkebun tanam lada solok," katanya.

Pelaksanaan PKP itu sehingga kini
tidak menghalang Bonyamin dan isteri untuk berbudi kepada tanah malah mereka yakin hasilnya mampu menampung perbelanjaan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:30 AM