MENGASINGKAN jagung untuk dijual.
MENGASINGKAN jagung untuk dijual.
Hazira Ahmad Zaidi


TEKAD seorang lelaki dari Kampung Dusun Buloh, Pulai Chondong, Machang, Kelantan untuk berbudi kepada tanah, nyata memberi hasil lumayan apabila mampu menjana pendapatan puluhan ribu ringgit.

Zailani Mat Ail, 48, berkata, dia tidak pernah menyesal mengambil keputusan berhenti bekerja sebagai pemandu lori yang menjadi mata pencariannya selama 20 tahun untuk menampung keluarga, namun kini dia beralih angin menjadi petani sepenuh masa sejak dua tahun lalu.

Katanya, walaupun terpaksa berpanas dan berhujan, ia bukan menjadi halangan baginya malah semangatnya semakin membuak-buak untuk terus berbakti kepada tanah memandangkan ia lubuk rezeki kepadanya.

"Pada awal 2018 selepas mengambil keputusan berhenti kerja, saya mula menceburkan diri dengan tanaman nanas MD2 sebanyak 25,000 pokok di kawasan seluas 1.2 hektar menggunakan modal bernilai RM35,000 daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

"Walaupun pulangan tanaman nanas ini lumayan dan mampu mencecah sehingga RM100,000 semusim, ia mengambil tempoh yang agak lama iaitu lebih setahun membuatkan saya mengambil keputusan beralih kepada tanaman jagung pada awal tahun ini kerana mampu membua

hkan hasil dalam tempoh yang singkat iaitu dua bulan," katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Dusun Buluh, baru-baru ini.

Bapa kepada tiga anak yang berusia antara 14 hingga 25 tahun ini berkata, dia melihat tanaman jagung itu berpotensi untuk dikembangkan serta dikomersialkan.

"Tanpa ragu-ragu saya mengambil keputusan menanam jagung dengan modal RM3,000 untuk mula menanam sebanyak 15,000 pokok jagung manis di atas tanah berkeluasan 0.4 hektar.

"Kebetulan di kawasan kampung ini banyak tanah yang ada pemilik, tetapi terbiar menyebabkan saya mengambil keputusan meyewanya untuk mengusahakan tanaman jagung manis.

"Kemudian tanah yang disewa ini dibajak dan dibina batas serta dipasang sistem pengairan sesuai untuk tanaman jagung manis. Penanaman dilakukan secara berperingkat-peringkat untuk memastikan hasil

JAGUNG merah mendapat permintaan tinggi.
JAGUNG merah mendapat permintaan tinggi.

kutipan dilakukan mengikut kehendak pasaran.

"Tanaman ini mengeluarkan hasil selama tiga musim dalam setahun dengan setiap musim memerlukan 65 hingga 70 hari untuk dipetik," katanya.

Katanya, walaupun proses penanaman jagung tidak rumit, pengurusan tanaman perlulah betul dan yang paling penting adalah kawalan serangga bagi mengeluarkan hasil terbaik selain memastikan air mencukupi iaitu sekali sehari siraman atau dua hari.

"Saya hanya mempromosikan hasil tanaman itu menerusi laman Facebook (FB) dan ia sering mendapat permintaan pelanggan di negeri ini termasuk pelanggan luar, antaranya di Kuala Lumpur serta Kedah," katanya.

Zailani berkata, pada April lalu, untuk mencipta kelainan selain sebagai percubaan dia turut menanam jagung merah sebanyak 1,000 pokok dan benihnya diperoleh daripada pembekal dari China dengan hanya bermodalkan RM100.

"Disebabkan permintaan terhadap jagung merah amat menggalakkam kerana isinya yang lemak dan manis menyebabkan saya menambah 6,000 pokok lagi pada Julai lalu dan hasilnya dapat dikutip pada bulan ini.

"Saya menjual jagung manis pada harga RM1 setongkol manakala bagi jagung merah pula RM2 setongkol," katanya.

Katanya, mungkin menanam jagung dilihat agak mudah, tetapi hakikatnya proses perlu dilalui agak rumit terutama jagung merah memerlukan penjadualan baja bersistematik dan kawalan atau pengawasan ama

JAGUNG yang ditanam Zailani.
JAGUNG yang ditanam Zailani.

t ketat bagi mencegah ia diserang ulat yang berpotensi merosakkan keseluruhan tanaman.

"Tanaman jagung ini risikonya adalah apabila diserang ulat, sebab itu sistem penjadualan pembajaan sangat penting, selain itu kaedah yang saya gunakan untuk menangani masalah ulat di peringkat awal ialah membuat kawalan menggunakan baja," katanya.

Katanya, kebun yang diusahakan itu diuruskannya sendiri dan hanya menggunakan khidmat dua pekerja sambilan ketika awal penanaman serta mengutip hasil tanaman yang sudah matang untuk dikumpul dan dijual.

"Pada masa sama, saya juga mendapatkan nasihat dan bimbingan mengenai tanaman yang diusahakan menerusi aplikasi WhatsApp dalam 'group chat' Petani Kelantan dan Pertubuhan Peladang Kelantan yang dibimbing oleh pegawai pertanian.

"Malah, dengan adanya tanaman ini juga ia memberi peluang pekerjaan kepada belia tempatan yang mengambil upah setiap kali musim menanam dan menuai hasil kerana jagung cuma mengambil masa 65 hari saja untuk dituai.

"Kebiasaannya jagung matang dan boleh dipetik akan mempunyai isi yang padat selain kulitnya juga berubah warna hijau gelap," katanya.

Katanya, kejayaannya pada hari ini tidak datang bergolek sebaliknya diraih selepas menempuh pelbagai cabaran dan rintangan kerana menceburi sektor penanaman jagung tanpa sebarang ilmu selain pernah mengalami kegagalan.

"Saya bersyukur kerana hasil titik peluh mengusahakan tanaman ini jelas membuktikan lambang kegigihan, kecekalan dan keberanian diri saya untuk terus mencuba sektor pertanian yang mampu meningkatkan taraf hidup keluarga.

"Insya-Allah, pada tahun hadapan, saya merancang menanam benih jagung putih dan jagung hitam sebanyak 30,000 benih pokok di atas kawasan seluas

1.4 hektar di Kampung Batu 30, Machang dan berharap dapat memberi pulangan yang lumayan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 6:55 AM