CHE Soh bersama hasil jambu batu hibrid Undanya.
CHE Soh bersama hasil jambu batu hibrid Undanya.
Mohd Rafi Mamat


EPISOD 50 pokok jambu batu hibrid Unda yang ditanam mati secara serentak tahun lalu antara pengalaman memilukan dilalui sepanjang lapan tahun terbabit dalam sektor pertanian secara komersial.

Penyakit akar yang menyerang menyebabkan semua pokok dewasa sedang berbuah mati kata pekebun berjiwa besar, Che Soh Harun, 51 yang mengusahakan projek tanaman jambu seluas 1.2 hektar di Kampung Bukit Serdang, Rompin, Pahang.

Menurutnya, hikmah di sebalik kejadian yang berlaku itu mencetus idea untuknya mencuba teknik tanaman dalam polibeg dan kejayaan ternyata berpihak kepadanya tanpa diduga.

Katanya, kaedah yang digunakan itu bukan sahaja dapat menyelamatkan pokok baharu daripada dijangkiti penyakit akar kerana ditanam atas tapak sama. Tetapi, lebih penting peratus kesuburan pokok lebih tinggi hingga mampu mengeluarkan dalam masa singkat.

"Dalam tempoh enam hingga tujuh bulan pokok yang ditanam mengeluarkan hasil secara berperingkat dan kini sebahagian daripada 50 pokok yang ditanam berbuah. Kualiti serta saiz buah juga lebih baik.

"Untuk menghasilkan pokok jambu Unda yang terbaik penggunaan baja dan siraman perlu diberi perhatian sepenuhnya, pokok tidak akan berbuah lebat sekiranya dua faktor berkenaan gagal dilakukan mengikut jadual," katanya yang berpuas hati dengan pencapaian dilakar.

Dia mengakui rasa manis dan rangup dimakan serta saiz buah yang besar menjadikan jambu batu Unda dihasilkanya mendapat permintaan begitu menggalakan daripada pengguna.

Che Soh berkata, pokok jambu yang dihasilkan menerusi kacukan jenis Lohan dan GU8 ini mampu menghasilkan buah sepanjang tahun selepas matang dengan setiap pokok mampu mengeluar buah antara 100 hingga 200 biji setiap setahun.

CHE Soh (kanan) memberi pelanggan merasa jambu batu hibrid Unda.
CHE Soh (kanan) memberi pelanggan merasa jambu batu hibrid Unda.

Katanya, mengusahakan tanaman jambu Unda mampu memberi pulangan menguntungkan jika dilakukan bersungguh-sungguh dan mengikut jadual kerja membabitkan aktiviti membaja, memangkas dan meracun.

Tegasnya lagi, jambu batu dikategorikan sebagai pokok manja yang memerlukan perhatian lebih serta mudah diserang penyakit dan serangga jika pengawalan tidak dilakukan dengan sempurna.

"Pokok jambu batu akan mengeluarkan hasil apabila mencapai usia setahun setengah hingga dua tahun bergantung kepada penjagaan, kesuburan dan kadar kelembapan tanah.

POKOK jambu batu hibrid Unda kini mengeluarkan hasil.
POKOK jambu batu hibrid Unda kini mengeluarkan hasil.

"Kemuncak pengeluaran buah ketika pokok berusia lapan tahun. Ketika itu pokok mampu mengeluarkan hasil sehingga 45 tan membabitkan kawasan seluas 1.2 hektar. Purata berat buah antara 800 gram hingga 1.8 kilogram (kg) sebiji," katanya yang kini turut mengusaha ladang jambu Unda secara usaha sama dengan rakannya di Gua Musang, Kelantan.

Che Soh menambah, jambu Unda dibahagikan kepada tiga gred iaitu A, B dan C bergantung kepada saiz dan kualiti. Harga pasaran semasa antara RM6 hingga RM7 sekilogram.

Katanya, jambu Unda Gold yang terhasil secara semula jadi kini mendapat permintaan begitu menggalakan, walaupun harganya lebih tinggi namun pengguna tetap sentiasa memilihnya disebabkan rasanya manis dan rangup.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, bagi memenuhi permintaan pekebun, dia juga menghasilkan anak pokok jambu menggunakan teknik tut yang dijual dengan harga RM15 hingga RM20 sepokok mengikut saiz.

POKOK jambu batu hibrid Unda yang berumur tujuh bulan ditanam dalam polibeg sudah mengeluarkan hasil pertama.
POKOK jambu batu hibrid Unda yang berumur tujuh bulan ditanam dalam polibeg sudah mengeluarkan hasil pertama.

"Saya sedia berkongsi pengalaman dengan mana-mana pihak yang berminat mengusahakan kebun jambu Unda yang mampu memberi pendapatan lumayan.

"Saya juga kini terus menjalankan aktiviti promosi dan pemasaran, terbaharu di Putrajaya dan Kelantan. Permintaan terhadap jambu Unda kini makin menggalakkan.

"Saya berharap suatu hari nanti jambu Unda berada di pasaran seluruh negara sama seperti buah tempatan lain," katanya yang sebelum ini bertugas selama 18 tahun dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Katanya, aktiviti jualan dilakukan dengan cara jual terus kepada pembeli dengan kaedah 'cash on delivery' (COD) atau bayar selepas terima dan pembeli datang ke kebun.

Jualan buah potong turut dilakukan di sekolah dan beberapa kedai.

Beliau berkata, pada musim tertentu dia tidak memenuhi permintaan pengguna, kemuncak pengeluaran hasil berlaku bermula September hingga Disember.

Pada bulan lain jumlah buah menurun terutama pada musim panas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 6:30 AM