MOHD ZAID
MOHD ZAID
MOHD Zaid melihat rusanya lari sebaik dilepaskan dari kandang.
MOHD Zaid melihat rusanya lari sebaik dilepaskan dari kandang.
Ramli Ibrahim


"TIDAK sangka, menternak rusa boleh memberikan sumber pendapatan walaupun dagingnya agak mahal," kata pesara kerajaan, Mohd Zaid Zakaria, 58.

Dia yang tinggal di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, Kelantan menternak rusa sejak lapan tahun lalu selepas bersara daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Katanya, pada peringkat awal, dia menternak rusa hanya sebagai hobi semata-mata untuk memenuhi masa terluang.

"Sebagai pesara, saya mempunyai banyak masa terluang. Namun sebagai seorang yang tidak boleh duduk diam kerana sudah terbiasa bekerja sejak sekian lama, saya mula mencari sesuatu untuk dilakukan.

"Oleh itu, saya ambil inisiatif menternak rusa untuk memenuhi kelapangan masa daripada membazir begitu sahaja," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebagai permulaan, dia mengeluarkan perbelanjaan RM13,500 untuk membeli lima rusa induk daripada seorang penternak di Sungai Jin, Kuantan, Pahang.

RUSA dikurung di dalam kandang sekurang-kurangnya enam jam sehari supaya mudah dijinakkan.
RUSA dikurung di dalam kandang sekurang-kurangnya enam jam sehari supaya mudah dijinakkan.

Menurutnya, tanpa pengalaman dia tidak menyangka ternakan rusa baka jenis Timorensis itu cepat membiak.

"Melihat keadaan itu saya jadi seronok dan mula melihat potensi besar apabila permintaan terhadap daging meningkat biarpun harganya mahal.

"Saya mula serius menternak rusa dengan menambah jumlah yang sedia ada sedikit demi sedikit untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Bukan saja ada yang beli daging, malah tidak kurang pula yang membeli rusa hidup hingga ada permintaan dari luar Kelantan.

"Setakat ini sudah 11 rusa dijual dan kini ada 13 ekor lagi termasuk enam rusa betina menunggu masa beranak," katanya.

RUSA dikurung untuk diberi makan dedak.
RUSA dikurung untuk diberi makan dedak.

Selain menjual daging rusa dengan harga RM65 sekilogram, dia juga menjual rusa hidup antara RM2,000 hingga RM5,000 seekor.

Katanya, bidang ternakan haiwan itu juga jarang diceburi kerana kerumitan menjaganya.

"Ternakan ini perlu dijaga sepanjang masa kerana rusa yang baru dipindahkan masih liar dan sering merempuh pagar. Pada masa sama, makanan dedak diberikan tiga kali sehari dan daun kayu perlu diberi sekali sehari.

"Saya dan isteri mengambil masa dua tahun untuk menjinakkan rusa sehingga kami boleh menggosok kepala dan badannya sekarang," katanya.

ISTERI Mohd Zaid, Rokiah Isa, 60, membantu memberi makan dedak kapada rusa.
ISTERI Mohd Zaid, Rokiah Isa, 60, membantu memberi makan dedak kapada rusa.

Bagaimanapun, ternak rusa itu tidak memerlukan kos yang tinggi dan kaedah penjagaan pula jauh lebih jimat berbanding haiwan lain seperti lembu atau kambing.

Dia berkata, kawasan ternak rusa itu seluas 0.8 hektar berhampiran rumah dan menyediakan tempat seperti habitat asalnya di hutan.

"Untuk keselesaan haiwan itu, saya juga membina kandang yang lebih luas dan memagar kawasan sekitarnya supaya rusa bebas bergerak,"katanya.

MOHD Zaid menyediakan kemudahan kolam air untuk memudahkan rusa minum air bersih.
MOHD Zaid menyediakan kemudahan kolam air untuk memudahkan rusa minum air bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 6:20 AM