POKOK yang terdapat di kebun hidroponik di kediaman Rahmahtunnisah.
POKOK yang terdapat di kebun hidroponik di kediaman Rahmahtunnisah.
Oleh Nurul Husna Mahmud


BERMULA dengan 10 pasu kecil menerusi set pertama hidroponik ketika minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, kebun hidroponik di laman kediaman Rahmahtunnisah Sailin, 46, kini bercambah lebih 200 pokok.

Kata ibu kepada empat cahaya itu yang juga Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor, hobi berkebun dicetuskan suami tercinta, Mohd Isa Senawi, 52.

Hasil tanaman itu bukan hanya menampung keperluan hariannya, malah menjana pendapatan sampingan apabila hasilnya dijual kepada rakan dan jiran setempat.

Rahmahtunnisah pada mulanya tidak yakin dengan idea untuk menanam sayur sendiri, tetapi mula berubah sebaik melihat tanaman suaminya iaitu jenis sayur berdaun semakin subur dan segar setiap hari.

"Pada awalnya memang saya kurang yakin dengan 'projek' suami yang mahu mulakan kegiatan berkebun dengan kaedah hidroponik.

"Saya bimbang set pasu hidroponik dibeli itu akan terbengkalai dan bersepah di belakang rumah, tetapi apabila suami berjaya tanam pokok sawi dan hidup sehingga dituai, rasa seronok pula," katanya.

Didorong kejayaan 'batch' pertama, kata Rahmahtunnisah, suaminya mula membeli set hidroponik lebih besar bersaiz 20 kaki x 5 kaki yang mampu memuatkan 78 pasu.

SAYUR sawi ‘gergasi’ yang tumbuh dengan subur.
SAYUR sawi ‘gergasi’ yang tumbuh dengan subur.

BATAS sawi daripada paip PVC apabila menggunakan kaedah hidroponik.
BATAS sawi daripada paip PVC apabila menggunakan kaedah hidroponik.

MOHD Isa sediakan bancuhan baja Nutrien AB untuk tanaman.
MOHD Isa sediakan bancuhan baja Nutrien AB untuk tanaman.

"Pembelian kedua lebih mahal iaitu membabitkan set hidroponik yang lebih besar pada harga RM800, tetapi berbaloi kerana boleh menanam 234 pokok.

"Tidak puas dengan set yang sedia ada, suami mula pula bina set hidroponik sendiri berdasarkan pemerhatian daripada set dibeli dan panduan di Internet menggunakan

tiga paip PVC dengan kos sekitar RM200.

"Set hidroponik berkenaan boleh menampung 130 pokok dan diletakkan di laman depan rumah," katanya.

Rahmahtunnisah menjelaskan teknik betul dalam penanaman sayur berdaun menggunakan kaedah terbabit diperlukan termasuk penggunaan medium yang betul, aturan tanaman tepat selain konsisten menyembur air baja pada pokok setiap hari.

"Hendak jaga menggunakan kaedah hidroponik ini perlu ikut teknik atau kaedah betul. Saya pelajari daripada suami mengenai tip tanaman ini iaitu perlu ikut nisbah yang betul untuk bancuhan baja Nutrien AB.

"Kemudian peringkat semaian benih sangat penting iaitu benih disemai perlu diletakkan di tempat redup dan boleh dipindah ke dalam pasu apabila sudah tumbuh anggaran lima sentimeter atau selepas seminggu disemai.

"Ketika pindah juga penting kerana perlu letak sebaik-baiknya satu atau dua pokok pada satu pasu untuk elak persaingan. Dari segi penjagaan pula saya dan suami sembur dengan air baja setiap dua kali sehari pada daun atau batang," katanya.

Kata Rahmahtunnisah, rutin menjaga pokok itu turut dibantu empat anaknya terutama dua anak lelaki, Muhammad Nufail, 13 dan Muhammad Darwisy, 8.

RAHMAHTUNNISAH memeriksa dan membuang serangga atau ulat pada pokok.
RAHMAHTUNNISAH memeriksa dan membuang serangga atau ulat pada pokok.

RAKAN pejabat teruja melawat dan memetik sayur sendiri di kebun hidroponik Rahmahtunnisah.
RAKAN pejabat teruja melawat dan memetik sayur sendiri di kebun hidroponik Rahmahtunnisah.

"Berkebun juga tidak susah sebab saya dan suami dibantu anak untuk pantau pokok selain siram. Tugas mereka biasanya perlu tengok pokok sama ada ulat atau serangga perosak hinggap pada daun.

"Disebabkan tidak guna serangga perosak, mereka kena tengok setiap petang dan buang ulat atau serangga yang ada pada pokok. Pokok ini perlu disiram dengan baja bagi bantu dapatkan hasil daun yang 'gemuk' apabila dituai," katanya.

Katanya, bagi yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti berkebun secara hidroponik boleh mulakan tanaman dengan sayur-sayuran berdaun hijau yang mudah tumbuh.

"Bagi yang tidak pernah bercucuk tanam atau mahu mulakan hobi berkebun boleh mulakan dengan sayur-sayuran seperti salad jenis Lectuce Lollo Bionda dan Lectuce Lollo Rosso, sawi, kailan atau kangkung.

"Kalau hendak tanam di tanah biasa, boleh cuba herba mudah seperti daun kesum, kari, pudina, kunyit dan bayam brazil.

"Belajar juga cara menyemai kerana itu proses penting untuk dapatkan anak pokok yang baik. Sebaik-baiknya untuk tanaman sayur-sayuran perlu didedahkan kepada cahaya matahari pagi kerana itu nutrisi yang amat diperlukan pokok," katanya.

Ketika ini tanaman kebun hidroponik Rahmahtunnisah dan suami sudah masuk tuaian kelima dan mendapat permintaan dalam kalangan rakan dan jirannya.

"Sekarang saya ada tawar jualan sayur-sayuran kepada teman sepejabat apabila mereka boleh datang ke rumah dan petik sendiri.

"Rata-rata yang pernah makan sayur-sayuran dari kebun ini mengatakan mereka sukakan profil rasanya yang manis dan tidak pahit. Paling mendapat permintaan adalah salad," katanya yang turut merancang menanam bayam bagi tanaman akan datang kerana itu sayur kesukaan anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 6:43 AM