SHAHARUDDIN di kebun cilinya.
SHAHARUDDIN di kebun cilinya.
Teks dan foto Noor Hidayah Tanzizi


WALAUPUN penglihatannya terbatas dengan hanya bergantung pada satu mata, lelaki ini tetap cekal mengusahakan tanaman cili fertigasi di Kampung Changkat Banjar, Parit, Perak.

Bapa tunggal kepada dua anak, Shaharuddin Lop Ahmad, 43, yang juga orang kurang upaya (OKU) mengusahakan tanaman itu bersama rakannya, Mohd Nizam Zulkifli, 37.

Mereka bermula empat tahun lalu dengan kaedah penanaman batas sebelum bertukar sepenuhnya secara fertigasi di tanah seluas 0.07 hektar (700 meter persegi) sejak setahun lalu dan mempunyai 1,360 polibeg cili.

Menurut Shaharuddin, mata kirinya buta akibat jangkitan kuman selepas disahkan menghidap 'achalasia esofagus' pada 2016.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel di Subang, Selangor dan apabila kesihatan kurang baik saya bersama keluarga pulang ke kampung di Parit, Perak.

"Kesihatan semakin merosot dan saya menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh selama lebih setahun dan kuman merebak hingga menyebabkan mata kiri buta.

"Doktor beritahu mata saya sudah tidak dapat diselamatkan dan ketika itu memang sukar mahu menerima keadaan diri hingga menjadikan saya tertekan serta hilang semangat," katanya ketika ditemui pada ziarah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belanja, Khairuddin Abu Hanipah.

SHAHARUDDIN dan Mohd Nizam (kiri) melihat air baja untuk tanaman cili fertigasi mereka.
SHAHARUDDIN dan Mohd Nizam (kiri) melihat air baja untuk tanaman cili fertigasi mereka.

HASIL cili segar dari kebun dua pengusaha ini.
HASIL cili segar dari kebun dua pengusaha ini.

SHAHARUDDIN (kanan) menunjukkan tanaman cili di kebunnya kepada Khairuddin.
SHAHARUDDIN (kanan) menunjukkan tanaman cili di kebunnya kepada Khairuddin.

Katanya, selepas berpisah dengan bekas isteri pada 2017, dia nekad bangkit semula kerana mengenangkan anak yang masih kecil dan ibu, Fatimah Mohd Rashid, 73.

"Saya menguatkan semangat dengan sokongan keluarga, kakitangan hospital dan rakan. Apabila Mohd Nizam ajak tanam cili, saya ambil peluang itu untuk mengubah kehidupan biarpun ketika itu masih memakai tiub di hidung.

"Jika diikutkan memanglah tidak puas melihat dengan hanya satu mata, tetapi saya reda dan bersyukur penglihatan sebelah mata lagi masih jelas sekali gus dapat membantu saya menguruskan kebun," kata bapa dua anak lelaki berusia lapan dan 11 tahun itu.

Katanya, dia kini sudah biasa dan mengakui tiada masalah biarpun hanya bergantung dengan satu mata, masih boleh menunggang motosikal kira-kira enam kilometer daripada rumahnya di Kampung Talang Batin ke kebun.

"Setakat ini tiada masalah, semua kerja saya buat, tetapi sentiasa berhati-hati kerana risau jika mata kembali bermasalah," katanya menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 6:34 AM