utama

Mayat Nora Anne sudah dituntut [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MAYAT remaja Ireland, Nora Anne Quoirin sudah dituntut dan dipercayai dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu selepas menerima maklumat daripada pihak hospital.

“Saya dimaklumkan (mayat Nora Anne) dah tuntut...Baru sahaja.

“Difahamkan mayat dibawa ke KLIA,” katanya.

Sebuah van berwarna kelabu tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), jam 12.38 tengah malam.

Beberapa individu dipercayai bukan ahli keluarga turut hadir.

Mereka kemudian membawa turun sebuah keranda sebelum membawa keluar semula keranda itu beberapa minit kemudian dan meletakkan ke dalam van.

Van itu dilihat berlalu meninggalkan HTJS jam 12.42 tengah malam.

Namun, ahli keluarga Nora Anne tidak kelihatan ketika proses menuntut mayat itu.

Mayat Nora Anne ditemui di lurah kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapan keluarganya oleh pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Selasa lalu selepas mangsa dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Kelmarin, keputusan bedah siasat Nora Anne mendapati punca kematian disebabkan kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh panjang dan tekanan.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 1:30am
    d