mutakhir

'Adik Mat' tidak kelihatan lagi [METROTV]

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

BUAYA tembaga dikenali dengan panggilan Mamat atau Adik Mat dipercayai berpindah ke kawasan lain selepas kelibatnya tidak lagi dilihat di lombong tinggal dekat Kampung Tepoh, Kuala Nerus.

Usaha Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memasang perangkap untuk menangkap sang bedal itu sejak dua minggu lalu menemui jalan buntu.

Tinjauan Harian Metro bersama anggota Perhilitan ke kawasan berkenaan hari ini mendapati tiada kesan baru kehadiran Adik Mat di kawasan lombong itu.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, buaya itu sudah tidak kelihatan di kawasan berkenaan sejak perangkap itu dipasang pada 24 Oktober lalu.

“Pemantauan dijalankan tidak menemui lagi Adik Mat di kawasan berkenaan dan berkemungkinan Adik Mat sudah ke sungai berdekatan.

“Buaya jinak itu seakan memahami dan tidak lagi timbul di lombong itu sejak kami merancang untuk menangkapnya,” katanya.

Dr Abdul Malek berkata, pihaknya akan berusaha untuk menangkap buaya sepanjang empat meter itu secepat mungkin demi keselamatan orang ramai terutama penduduk berdekatan.

“Sekarang sudah memasuki musim peralihan monsun timur laut di pantai timur dan kebarangkalian untuk banjir di kawasan itu sangat besar sekiranya berlaku hujan berterusan.

“Kami bimbang jika Adik Mat menyelinap ke kawasan penduduk ketika banjir dan mengancam keselamatan orang ramai.

“Hari ini, kami alihkan perangkap itu ke lombong yang lain dan agak tersorok daripada pandangan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut meletakkan papan tanda amaran di kawasan lombong tinggal itu sebagai amaran kepada orang ramai.

“Walaupun Adik Mat sudah tidak kelihatan dan timbul, namun orang ramai masih mengunjungi kawasan berkenaan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Perhilitan Terengganu akan menangkap buaya tembaga yang mendiami lombong tinggal biarpun tindakan itu tidak dipersetujui orang ramai.

Buaya itu kembali ke lombong berkenaan selepas dua tahun menghilang dan kehadirannya semula menjadi tular di media sosial sejak akhir September lalu.

Berita berkaitan

'Mamat' belum masuk perangkap

Tangkap 'Mamat' demi keselamatan

Waspada bila bermain dengan 'Adik Mat'

Pok Man Buaya rindu 'Adik Mat'

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 4:40pm
d