global

Covid-19: New York kerah Pengawal Negara

Oleh BERNAMA

NEW YORK: New York akan menghantar Pengawal Negara ke kawasan khas dikategorikan sebagai lokasi utama wabak Covid-19 untuk membendung penularan, kata Gabenor Andrew Cuomo pada Selasa lapor agensi berita Xinhua.

Pada sidang akhbar, Cuomo berkata, pasukan itu akan dihantar ke New Rochelle, daerah Westchester untuk membantu kerja-kerja pembersihan dan mengedarkan makanan.

Sekolah, rumah ibadat dan tempat perhimpunan yang berada kira-kira 1.6 kilometer dari kawasan terjejas, akan ditutup selama dua minggu.

New Rochelle menjadi pusat penularan wabak Covid-19 di daerah Westchester, terletak di luar bandar raya New York dan mempunyai 108 kes disahkan.

“Jumlah kes semakin bertambah dan kita memerlukan strategi kesihatan awam khas untuk New Rochelle,” kata Cuomo.

Lebih 170 kes dilaporkan di New York, dengan kes tertumpu di daerah Westchester.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 10:53am
    d