mutakhir

Gerobok Rezeki bantu keluarga memerlukan

Oleh Mohd Amin Jalil

JAWATANKUASA Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Height Senawang, Seremban, mengambil inisiatif mewujudkan projek Gerobok Rezeki bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi masjid berkenaan, Mohd Husna Amin berkata, projek itu bermula 23 Mac lalu bertujuan membantu mereka terutama ketua keluarga yang terputus atau kekurangan bekalan makanan keperluan harian kerana PKP mula dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Katanya, pihaknya menyediakan pek makanan mengandungi makanan asas termasuk beras sebanyak lima kilogram (kg), tepung gandum (1kg), minyak masak (1kg), telur(15 biji), susu dan kicap.

“Dana bagi projek Gerobok Rezeki ini hasil sumbangan orang ramai.

“Bantuan ikhlas ini diberikan khusus kepada ketua keluarga terkesan dengan PKP termasuk golongan berpendapatan rendah dan mereka yang hilang pendapatan kerana Covid-19.

“Pada peringkat awal bantuan ini, terdapat sekitar 50 pek makanan, tetapi ketika ini sudah mencecah 200 pek sehari,” katanya ketika ditemui selepas selesai sesi penyerahan bantuan itu di masjid berkenaan, hari ini.

Mohd Husna berkata, pemohon ingin mendapatkan bantuan itu terlebih dulu perlu mendaftar secara atas talian dan pihak masjid akan memaklumkan kelulusan permohonan melalui sistem pesanan ringkas.

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada penduduk sekitar Senawang, tetapi setakat ini terdapat mereka yang tampil termasuk dari Seremban, Kuala Pilah, Jelebu, Rantau dan Mambau.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 2:42pm
    d