mutakhir

27 pegawai, 732 anggota ATM bantu PKP di Johor

Oleh Adnan Ibrahim

SERAMAI 27 pegawai serta 732 anggota bertugas di 13 kawasan pentadbiran polis di negeri ini membabitkan tugas sekatan jalan raya dan rondaan.

Panglima 7 Briged Brigadier Jeneral Datuk Zawawi Adam berkata, tugas dan peranan pihaknya hanyalah membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Simpang Renggam.

Katanya, daripada jumlah itu, 47 sekatan jalan raya diadakan di seluruh Johor dengan tiga orang bertugas secara bergilir di setiap sekatan.

Dua anggota lagi ditugaskan bersama pasukan rondaan membabitkan 41 pasukan peronda.

“Apa yang kita hadapi sekarang adalah musuh yang kita tidak nampak secara fizikal. Untuk menghadapi musuh seperti ini memerlukan kerjasama bukan sahaja daripada pasukan petugas malah keseluruhan masyarakat.

“Kami amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak, khususnya masyarakat, agar bersama-sama memerangi musuh tidak nyata ini,” katanya.

Zawawi berkata demikian selepas menyaksikan demonstrasi penggunaan dron untuk memantau kawasan PKPD oleh Bahagian Staff Perisikan Pertahanan (BSPP) Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam hari ini.

Zawawi turut mengingatkan orang ramai agar tidak cepat percaya dengan berita palsu yang sering ditular pihak tidak bertanggungjawab kerana ia memberi kesan besar terhadap usaha memerangi Covid-19.

“Ia boleh menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat menyebabkan mereka mengambil tindakan yang tidak sepatutnya.

“Apa yang orang ramai, khususnya penduduk dalam kawasan PKPD perlu lakukan ialah, patuhi setiap arahan dikeluarkan. Berdoa juga supaya wabak ini segera berakhir,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 5:59pm
    d