mutakhir

Pemohon rayuan BPN serbu LHDN [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

BANGUNAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Johor di Bandar Baru Uda, Johor Bahru diserbu orang ramai yang membuat rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), pagi ini.

Tinjauan mendapati orang ramai berbaris panjang sehingga di luar pagar premis berkenaan dan tidak berganjak walaupun hujan.

Bagaimanapun, mereka mematuhi penjarakan sosial selain memakai pelitup muka.

Hampir 400 orang ramai yang ingin membuat rayuan BPN difahamkan sudah mula berbaris di lokasi berkenaan sejak jam 7.30 pagi.

LHDN membuka lima kaunter di bahagian lobi bangunan berkenaan dan turut melaksanakan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menghadkan jumlah pelanggan di dalam bangunan satu-satu masa.

Semalam, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lanjutan itu dibuat selepas kerajaan menerima dan mendengar pelbagai rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima BPN atas pelbagai sebab.

Sementara itu, pemohon yang ditemui, Imran Selamat, 41, berkata, dia hadir untuk membuat permohonan semula BPN selepas permohonan menerusi dalam talian ditolak walaupun sudah diberhentikan kerja bulan lalu.

"Diharap permohonan kali ini berjaya bagi digunakan modal berniaga kecilan bagi menampung isteri dan empat anak yang berusia dua hingga 15 tahun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 12:19pm
    d