mutakhir

Orang ramai semakin patuh SOP [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

ORANG ramai yang mengunjungi pasar raya dan pusat beli-belah di seluruh negara didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, perkara itu dapat dilihat melalui pemantauan dilakukan pegawai penguat kuasanya selepas diberi tanggungjawab menguat kuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Katanya, melalui pemantauan sejak 13 Mei lalu, kebanyakan pengunjung mengamalkan penjarakan sosial selain memakai pelitup muka di pasar raya dan pusat beli-belah, manakala pemilik premis pula menyediakan cecair pembasmi kuman.

"Sehingga kini, anggota penguatkuasa KPDNHEP memeriksa sejumlah 5,469 premis perniagaan yang sudah beroperasi dan daripada jumlah itu, sebanyak 241 nasihat serta sembilan amaran diberi kepada pengunjung supaya mematuhi SOP.

"Di peringkat awal kita memberikan nasihat dan amaran kerana rakyat bukan tak patuh tetapi apabila berada di luar kadang-kadang leka, namun mereka menuruti selepas diberi nasihat serta amaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Kilang Easy Pack Technology Sdn Bhd di Batu Kawan, hari ini.

Menurutnya, pemantauan dilakukan mendapati pengurusan pasar raya dan pusat beli-belah juga memainkan peranan mereka apabila kerap membuat hebahan dan pengumuman supaya orang ramai patuh pada SOP.

"Pematuhan SOP ini penting kerana menjadi tanggungjawab kita semua untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

"Sekiranya tidak berlaku peningkatan kes baharu sehingga esok seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mungkin tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dipendekkan maka di sini pematuhan amat perlu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 6:47pm
    d