mutakhir

PKP di Sibu selama 14 hari mulai Sabtu ini

Oleh BERNAMA

Kuching: Kerajaan negeri memutuskan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bahagian Sibu untuk tempoh 14 hari bermula Sabtu ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan PKP meliputi daerah Sibu, Kanowit dan Selangau.

"Prosedur operasi standard (SOP) berhubung dengan PKP ini akan dimaklumkan kepada orang awam esok, manakala PKP Bersyarat (PKPB) untuk bahagian Sarikei masih dikekalkan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, JPBN memaklumkan semua warganegara Malaysia serta bukan warganegara yang ingin masuk ke Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan dikehendaki membuat ujian saringan RT-PCR tiga hari sebelum mereka memasuki negeri ini.

"Keputusan ujian mestilah negatif (untuk dibenarkan masuk Sarawak) dan dilampirkan dalam permohonan enterSarawak. Arahan ini berkuat kuasa mulai 16 Jan," menurut kenyataan itu.

Sarawak terus mencatat angka tiga digit bagi kes baharu positif Covid-19 untuk empat hari berturut-turut apabila 180 kes dilapor hari ini, iaitu jumlah tertinggi kes harian yang pernah direkodkan setakat ini.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,920 kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 7:04pm
    d