mutakhir

PKPD di asrama, kilang, tapak binaan Central Medicare

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas ujian saringan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas 1,966 individu yang mengesan 185 orang positif Covid-19.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD bermula 22 Februari sehingga 7 Mac 2021.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 pekerja warganegara serta bukan warganegara yang tinggal di lokaliti ini dan seterusnya untuk mengawal jangkitan dalam komuniti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan, Taiping, Perak yang berakhir esok.

Terdahulu, katanya, 493 individu ditahan kerana melanggar PKP, semalam dengan 484 dikompaun, manakala sembilan lagi individu direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (133), Tiada penjarakan fizikal (132), gagal menyediakan peralatan atau merekod pelanggan (117), tidak memakai pelitup muka (70), aktiviti Pusat Hiburan (15), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (13), keluar rumah tanpa alasan munasabah (5), aktiviti sukan (2) dan lain-lain (6).

"Seramai 3,060 Pasukan Pematuhan membabitkan 14,109 anggota membuat pemantauan di 5,894 restoran, pasar raya (4,514), bank (4,217), penjaja (2,697), pasar awam/tani (2,142), kilang (1,673) dan pejabat kerajaan (733).

"Turut dipantau ialah tempat ibadah (3,733), tempat riadah (1,680), terminal pengangkutan darat (2,044), terminal pengangkutan air (320) dan terminal pengangkutan udara (104)," katanya.

Mengulas mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 20 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan 17 kenderaan darat dirampas, selain pihak berkuasa mengesan 102 bot dan kapal di perairan negara.

"Sebanyak 507 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam oleh agensi-agensi keselamatan yang menyertai Op Benteng," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 21, 2021 @ 6:51pm
    d