mutakhir

Dua kampung di Sabah, Sarawak kena PKPD

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, Kuching, Sarawak dan Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah bermula esok.

Ia susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di dua lokaliti berkenaan yang membabitkan 1960 penduduk.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas ujian saringan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan peningkatan dengan 60 kes positif di Kampung Emperoh dan 56 kes di Kampung Tanah Merah.

"Di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

"Manakala di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu pula 57 orang didapati positif Covid-19 hasil daripada 226 ujian saringan yang dilaksanakan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokaliti bermula 23 Februari sehingga 8 Mac 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, 509 individu ditahan kerana melanggar PKP, semalam dengan 466 dikompaun, 39 direman dan empat lagi dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (120), Tiada penjarakan fizikal (95), gagal menyediakan peralatan atau merekod pelanggan (111), tidak memakai pelitup muka (49), aktiviti Pusat Hiburan (37), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (8), keluar rumah tanpa alasan munasabah (11), aktiviti perjudian (54) dan lain-lain (24).

"Seramai 3,247 Pasukan Pematuhan membabitkan 14,518 anggota membuat pemantauan di 6,110 restoran, pasar raya (4,613), bank (4,204), penjaja (2,744), pasar awam/tani (2,265), kilang (1,618) dan pejabat kerajaan (847).

"Turut dipantau ialah tempat ibadah (3,786), tempat riadah (1,669), terminal pengangkutan darat (1,224), terminal pengangkutan air (294) dan terminal pengangkutan udara (102)," katanya.

Mengulas mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 16 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan lima kenderaan darat dirampas, selain pihak berkuasa mengesan 86 bot dan kapal di perairan negara.

"Sebanyak 512 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam oleh agensi-agensi keselamatan yang menyertai Op Benteng," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 22, 2021 @ 5:55pm
    d