Bola Sepak

Penonton tak wajib buat ujian Covid-19

Oleh Ferzalfie Fauzi

Putrajaya: Tidak perlu ujian calitan buat penonton Liga Malaysia (Liga M) yang ke stadium musim ini, perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Menurutnya, selagi mana ia tidak mengganggu konsep gelembung sukan yang digunakan untuk perjalanaan Liga M ketika ini, penonton tidak perlu melakukan ujian berkenaan.

"Kalau dalam kawasan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), mereka boleh masuk sahaja. Cuma, yang turun ke padang dan berkemungkinan ada kontak rapat, mereka perlu melakukannya.

"Ini bagi memastikan keselamatan dapat dijaga dan memastikan penjarakan itu sentiasa ada," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Skim Pembiayaan Industri Sukan hari ini.

Ujar Reezal, pihaknya akan membentangkan protokol pengurusan penonton kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan untuk mendapatkan kebenaran kehadiran penyokong bola sepak ke stadium.

"Protokol pengurusan sukan itu akan diperincikan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta semua pemegang taruh dengan cadangan awal adalah membabitkan kebenaran masuk penonton sebanyak 10 peratus atau 4,000 orang.

"Kita juga perlu lihat dari segi pembahagian penonton untuk pasukan tuan rumah dan pelawat yang turut membabitkan soal rentas negeri atau kemungkinan mewujudkan prapendaftaran kepada penyokong yang akan hadir ke stadium.

"Ini semua perlu diperhalusi dengan terperinci agar bila dilaksanakan nanti ia dilihat sempurna. Paling penting ia tidak melangggar SOP PKP yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 11, 2021 @ 7:44pm
    d