mutakhir

PKPD di Hulu Besut, SK Keruak ditutup [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Nerus: Jabatan Pendidikan negeri (JPNT) mengesahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak di Hulu Besut, ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim Hulu Besut, berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani berkata, sekolah yang mempunyai seramai 385 murid itu ditutup sehingga kerajaan mengumumkan penamatan PKPD.

Beliau berkata, walaupun tiga kampung di mukim Kuala Besut diumumkan sebagai kawasan pelaksanaan PKPD, tetapi hanya membabitkan satu penutupan sekolah rendah.

"Walaupun kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD, tetapi tiada murid dan guru serta pengurusan sekolah dijangkiti Covid-19," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu sempena Sambutan Hari Guru Peringkat negeri, di sini, hari ini.

Majlis perasmian dilakukan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan melaksanakan PKPD di Kampung Belaoh, Kampung Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru dan Kampung Keruak berkuat kuasa hari ini.

Ismail berkata, keputusan pelaksanaan PKPD itu dibuat susulan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan peningkatan kes Covid-19 di tiga lokaliti terbabit.

Mengulas lanjut, Salim berkata, sekolah itu akan dibuka selepas kerajaan mengumumkan penamatan PKPD.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang penutupan sekolah itu, pengurusan akan melaksanakan pembelajaran menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 7, 2021 @ 11:46am
    d