mutakhir

482 orang ditahan ingkar SOP

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 482 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan, semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 457 individu dikenakan kompaun manakala 11 lagi direman dan 14 orang dijamin.

"Pasukan Task Force operasi pematuhan turut melaksanakan pemeriksaan terhadap 1,300 kilang, 14,025 premis perniagaan, 360 tapak pembinaan dan 173 asrama pekerja.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 49 premis diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng semalam menahan lapan pendatang asing tanpa izin dan merampas dua kenderaan darat.

Selain itu, beliau berkata, seramai 699 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

Katanya, seramai 99 pekerja warga asing pula menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, 23 orang didapati positif Covid-19.

"Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 701,391 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 36,474 majikan. Daripada jumlah itu, seramai 10,488 orang disahkan positif," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya terus mengamalkan kawalan kendiri dengan kekal di rumah dan gaya hidup sihat bersama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah sendiri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 25, 2021 @ 7:58pm
    d