mutakhir

Penduduk Pulau Perhentian tidak dipinggirkan [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Jerteh: Nasib penduduk di Pulau Perhentian yang majoritinya hilang punca pendapatan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, terus terbela.

Walaupun terpisah oleh lautan, sebanyak 220 bakul makanan berisi barangan keperluan harian dibawa meredah dari tanah besar ke pulau peranginan terkenal itu.

Bantuan bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi Parlimen Besut itu dihantar sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman bersama rombongannya kepada penduduk.

Tengku Zaihan berkata, penduduk di Pulau Perhentian tidak dipinggirkan malah bantuan disalurkan daripada pelbagai pihak sejak pelaksanaan PKP secara berperingkat sejak tahun lalu.

"Dalam program kali ini, 220 rumah menerima bantuan bakul makanan dan Alhamdullilah, kita bersama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) menghantar bantuan kepada penduduk sejak PKP 1.0.

"Tidak dinafikan bantuan makanan ada tetapi mereka sebenarnya memerlukan sumber kewangan untuk kegunaan lain seperti membeli minyak petrol dan telefon bimbit serta internet untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) memandangkan sekolah tidak dibuka.

"Jadi apabila program vaksinasi dilaksanakan di sini, kita bersyukur dan berharap sektor pelancongan dapat dibuka bagi membantu penduduk," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penduduk Pulau Perhentian di sini.

Penduduk, Nik Rukiah Dollah, 65, melahirkan rasa syukur sebaik menerima bantuan berkenaan memandangkan dia bersama keluarganya sememangnya hilang punca pendapatan.

"Anak-anak bekerja di sektor pelancongan dan apabila pulau tidak dibuka memang terkesan serta perlu berjimat cermat.

"Jadi apabila dapat bantuan sebegini, memang rasa bersyukur dan lega kerana sedikit sebanyak dapat ia dapat mengurangkan beban kami," katanya.

Bagi Mohd Yusof Mohd Haris, 70, dia berterima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah jemu datang menyalurkan bantuan kepada penduduk Pulau Perhentian.

"Penduduk di sini kebanyakannya terbabit dalam sektor pelancongan dan Covid-19 memang beri kesan besar serta buat penduduk di sini terduduk dan hilang arah.

"Namun, apabila ada pihak datang bertanya khabar dan salurkan bantuan, memang rasa bersyukur dan berterima kasih sebab tidak melupakan kami walaupun kami berada jauh dari tanah besar," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2021 @ 12:57pm
d