TRX berperanan sebagai pemangkin pelaburan.
Nabil Basaruddin


TUN Razak Exchange (TRX) bukan saja menjadi mercu tanda dan kebanggaan kepada Malaysia, malah kehadiran projek mega itu turut melangkaui peranan serta fungsinya sebagai hab kewangan global.

Projek yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM40 bilion itu juga terdiri daripada kawasan tapak seluas 28.33 hektar, 28 plot tanah dan 4.05 hektar taman awam itu turut menjadi lambang dan tanda aras baharu kepada sektor pembinaan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif, TRX City Sdn Bhd (TRX City), Datuk Azmar Talib berkata, setakat ini, melalui 28 plot tanah yang dimiliki oleh TRX City, sebanyak 70 peratus plot sudah mula dibangun dan dikomersialkan.

Katanya, pembangunan yang begitu menyeluruh itu turut merangkumi unit pejabat, kediaman, komersial serta turut dilengkapi dengan 21,500 tapak parkir kereta bagi kemudahan penghuni serta pengunjungnya.

“Projek TRX bakal menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan daerah pusat perniagaan (CBD) di Malaysia serta mampu menjadi alamat perniagaan antarabangsa yang tersohor di Kuala Lumpur.

“TRX bukan saja berperanan untuk menjadi pemangkin untuk menarik lebih banyak pelaburan masuk dalam negara, malah ia melebihi daripada itu,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Mengenai perkembangan terkini projek itu, katanya bangunan dibina IJM Bhd sudah siap sepenuhnya dan mula diduduki adalah Menara Prudential yang dilancarkan secara rasmi pada 10 September lalu.


AZMAR Talib menunjukkan model bangunan TRX pada lawatan ke tapak TRX City di Galeri TRX, Jalan Utara.

Selain itu, katanya dua bangunan menara yang dijangka siap penghujung 2020 adalah ibu pejabat korporat bagi dua institusi perbankan iaitu HSBC Malaysia dan Affin Bank.

“Terdapat juga pembangunan untuk menara kediaman seperti projek CORE Precious Development Residential Tower yang dibina menerusi usaha sama antara CCCG Overseas Real Estate dan WCT Bhd yang akan siap pada 2022.

“Projek hartanah lain pula adalah daripada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang masih lagi dalam peringkat perbincangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmar berkata The Exchange 106 yang menjadi sebahagian daripada komponen projek mega TRX pula dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Menurutnya, menara yang mempunyai ketinggian 492.3 meter (m) dan setinggi 92 tingkat itu juga kini semakin menghampiri peringkat akhir pembangunannya dan dalam peringkat penilaian bagi Sijil Penyelesaian dan Pematuhan (CCC).

Apabila siap, The Exchange 106 adalah menara tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara serta tersenarai di antara 15 pencakar langit di dunia.

“Menara ikonik yang menjadi komponen bangunan tertinggi di pembangunan TRX itu kini menunggu kelulusan untuk diduduki sebelum ia mula dibuka dalam tempoh terdekat ini.

“The Exchange 106 juga adalah satu-satunya bangunan menara di TRX yang menyediakan ruang pejabat dan komersial untuk disewakan,” katanya.

Struktur mega berkenaan dibangunkan pemaju hartanah komersial terkemuka Indonesia, Mulia Property Development Sdn Bhd iaitu syarikat subsidiari Mulia Group Indonesia.

Sementara itu, melengkapkan kehadiran Veolia Water Technologies sebagai syarikat pengurusan loji kitar semula dan rawatan air di TRX turut menjadi pelengkap di projek yang juga perbandaran mampan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 10:22 AM