TAN
Nabil Basaruddin


OYO Hotels and Homes bakal memperkenalkan perkhidmatan dengan konsep hospitaliti terbaharu, OYO Homes dan OYO Townhouse pada tahun hadapan di Malaysia.

Ketua Negara OYO Malaysia, Tan Ming Luk berkata, penawaran baharu itu selari dengan misi syarikat itu untuk mengukuhkan kehadiran dan rangkaian OYO di negara ini.

Katanya, dengan pengenalan perkhidmatan sedemikian, ia akan mempelbagaikan model perniagaan yang dilaksanakan OYO selain memastikan jenama itu terus relevan untuk pelanggan yang berbeza-beza.

“Perkhidmatan OYO Homes sudah diperkenalkan di negara Eropah manakala konsep OYO Townhouse pula turut dilaksanakan di Amerika Syarikat apabila ia mendapat maklum balas serta sambutan luar biasa.

“Jadi, kami ingin membawa dua konsep baharu itu ke Malaysia dan mula menawarkannya sekitar tahun hadapan,” katanya.

Katanya, konsep baharu itu juga sebahagian perancangan masa depan pihaknya untuk memberi lebih pilihan dan kebebasan kepada pelanggan ketika bercuti.

Sementara itu, Tan berkata, Malaysia adalah pasaran penting bagi syarikat itu dalam mengembangkan perkhidmatan hospitalitinya, khususnya dengan kehadiran pelancong dalam dan luar negara yang tinggi.

Menurutnya, sejak beroperasi di negara ini, syarikat itu dalam tempoh tiga tahun berjaya merekodkan jumlah tetamu yang tinggi di lebih 300 hotel francais dan pajaknya.

“Tempahan tertinggi pula adalah dari bandar seperti Kulim (87 peratus), Seri Kembangan (85 peratus), Labuan (82 peratus) dan Puchong (79 peratus) dalam tempoh kurang setahun.

“Malah, ketika ini kami mempunyai perkhidmatan di 43 bandar di semua negeri dengan tawaran melebihi 10,000 bilik memberikan lebih pilihan kepada tetamu,” katanya.

Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa sebagai rantaian hotel dan ruang kediaman dipajak dan francais yang terbesar di Asia Tenggara, OYO perlu terus memberikan perkhidmatan terbaik. Antaranya dengan mempertingkatkan servis hospitaliti menerusi penggunaan teknologi khususnya dalam sistem pengurusan hotel.

“Kami mempunyai lebih 1,200 jurutera untuk membantu memantau teknologi yang digunakan yang mana ia penting bagi memastikan kelicinan serta kecekapan pengurusan hotel,” katanya.

OYO menawarkan pelbagai servis kepada rakan perniagaannya seperti sistem pengurusan hotel dan aplikasi mudah alih untuk operasi hotel serta aplikasi OYO untuk tetamu membuat tempahan bilik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 8:29 AM