RUMAH sekunder jenis kos rendah dua tingkat yang berjaya dimiliki Rabiatul sebagai rumah pertamanya dan sedang diubah suai.
Syarifah Dayana Syed Bakri


KETIKA tamat pengajian peringkat diploma sekitar 2007, dia tidak pernah bermimpi untuk memiliki kediaman sendiri. Ini kerana pada ketika itu dia hanya memikirkan untuk memulakan kerjaya bagi membantu keluarga.

Rabiatul Adwiyyah Md Harita, 33, menyifatkan rezeki berpihak kepadanya kerana selepas tamat pengajian, dia terus mendapat pekerjaan dalam sektor awam.

Melihat rakan sekerja sudah memiliki kediaman sendiri membuatkannya terlintas untuk berbuat demikian, namun berasakan agak mustahil kerana gaji yang kecil.

Ketika itu, dia menetapkan untuk mempunyai kediaman sendiri sebelum mencapai usia 30 tahun.

“Selepas empat tahun bekerja, saya menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan mula memikirkan untuk memiliki kediaman sendiri.

“Namun, saya terpaksa menangguhkan hasrat berkenaan kerana bimbang tidak mendapat pembiayaan memandangkan sedang menyambung pengajian.

“Selepas tamat pengajian barulah saya memulakan pencarian secara serius dan mencari maklumat di Internet,” katanyai.


Menurutnya, hasil maklumat yang diperoleh membawanya kepada ilmu baharu berkaitan hartanah iaitu konsep sewa atas sewa atau ‘sublet’.

“Saya mula belajar konsep sublet dan pengalaman mengendalikan rumah sewa ini secara tidak langsung menambah pengetahuan saya berkaitan hartanah.

“Selepas itu saya lebih yakin untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Rabiatul berkata, dia berjaya mendapatkan rumah sekunder jenis kos rendah dua tingkat di Ipoh pada harga RM106,000 pada 2017.

Unit berkenaan yang dilengkapi tiga bilik kini disewakan mengikut bilik.

Malah, dia kini sudah memiliki kediaman kedua yang dibeli pada tahun lalu.


Katanya, apa yang paling penting adalah dapatkan maklumat dan tambah pengetahuan mengenai hartanah sebelum membuat keputusan memiliki kediaman sendiri.

“Ada dalam kalangan rakan saya yang takut untuk membeli rumah kerana bimbangkan komitmen kepada bank.

“Namun, dengan ilmu yang betul, pasti ada jalan lebih mudah untuk memiliki kediaman sendiri.

“Saya sendiri mengikuti beberapa siri ceramah hartanah sebelum ini dan bergaul dengan rakan-rakan yang dianggap ‘otai’ dalam bidang ini,” katanya.


RABIATUL

INFO

• Rabiatul dapatkan rumah sekunder jenis kos rendah dua tingkat di Ipoh pada harga RM106,000 pada 2017 yang dilengkapi tiga bilik.

• Apa yang paling penting adalah dapatkan maklumat dan tambah pengetahuan mengenai hartanah sebelum membuat keputusan memiliki kediaman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 9:46 AM