M Oscar adalah antara projek kediaman rumah mampu milik ditawarkan Mah Sing.
hmdigital

Berdasarkan permintaan kukuh dalam segmen rumah mampu milik, Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) akan terus memberi tumpuan terhadap projek dalam segmen itu khususnya di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pihaknya mengambil perhatian mengenai permintaan dalam segmen terbabit sekiranya muncul peluang baharu dan pada masa sama akan terus meneroka prospek untuk usaha sama.

Beliau berkata, sebagai pemaju berlandaskan pasaran, pihaknya memahami kehendak pasaran dan sentiasa tampil dengan strategi bersesuaian dalam memenuhi permintaan.

“Kami percaya hartanah pada kadar mampu milik dan lokasi yang bagus masih mempunyai permintaan yang begitu memberangsangkan pada ketika ini.

“Projek yang kami lancarkan baru-baru ini atau sedang dibina semuanya adalah harga mampu milik yang dilengkapi akses dan sambungan yang baik.

“Perkara ini membuktikan komitmen berterusan kami untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti kerana 81 peratus sasaran jualan penuh tahunan kami adalah rumah bawah RM700,000,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada masa sama, Mah Sing merekodkan jualan RM1.14 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September lalu, mengekalkan momentum untuk mencapai sasaran jualan RM1.5 bilion pada tahun ini.

Syarikat itu mencatatkan untung sebelum cukai RM211.9 juta disebalik perolehan berjumlah RM1.3 bilion untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September lalu.

Pada asas sukuan, Mah Sing meraih untung sebelum cukai RM69.9 juta dan perolehanRM415.5 juta.

Selain itu, setakat 30 September lalu, kumpulan berkenaan mempunyai baki bank tanah sebanyak 835.27 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dan jualan belum dibil bernilai RM25.5 bilion.

Kedudukan bank tanah itu mampu memberikan pendapatan kukuh kepada pertumbuhan syarikat untuk tempoh lapan hingga sembilan tahun lagi.

Mengulas lanjut mengenai Kempen Pemilikan Rumah (HOC), Leong berkata, usaha kerajaan melaksanakan kempen seumpama ini memperlihatkan permintaan yang tinggi untuk segmen rumah mampu milik.

“HOC yang dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini yang juga menawarkan pelbagai insentif dan pengecualian setem duti terus menjadi pemangkin dalam mempromosikan pemilikan rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 11:06 AM