FADHLULLAH miliki rumah pertama melalui program Residensi Wilayah (Rumawip)
Sri Ayu Kartika Amri

PROSES memiliki sesebuah kediaman memerlukan persediaan rapi yang bukan saja membabitkan masa dan tenaga malah wang ringgit.

Ini kerana, pembelian rumah memerlukan kos asas iaitu harga kediaman dan kos sampingan seperti yuran guaman, kos takaful, duti setem serta kerja ubah suai dan kelengkapan kediaman.

Bagi Fadhlullah Syouqie Jamani, 34, pengalamannya membeli rumah pertama memerlukannya mencari banyak maklumat sebelum membuat pertimbangan.

“Pada peringkat awal sebelum pembelian, saya banyak mengkaji kelayakan saya untuk membeli rumah kerana tiada saudara-mara atau rakan yang menasihati kaedah dan cara terbaik.

“Justeru, tiada panduan dan maklumat yang boleh digunakan untuk membuat keputusan dan tindakan yang betul ketika awal pembelian.

“Walaupun ada sumber pembacaan di Internet, tetapi sokongan dan panduan daripada rakan atau keluarga terdekat juga perlu untuk menterjemahkan impian kepada bentuk tindakan,” katanya.

FADHLULLAH bersama keluarga bergambar di rumah mereka.

Menurutnya, selepas membuat kajian mengenai kelayakan kewangan dan kemampuan membayar, dia kemudian mengambil keputusan untuk membeli rumah.

“Pada masa ini, saya sudah bekerja lebih kurang empat tahun dan dalam tempoh itu, hanya beberapa bulan saja saya duduk bersama mentua.

“Ini kerana pada awal perkahwinan, kami mengambil masa untuk mendapatkan rentak kehidupan baharu dan berasingan daripada keluarga.

“Kemudian, selebihnya saya duduk di rumah yang saya sewa sebelum membeli rumah pertama,” katanya kepada P&P di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Fadhlullah berkata, dia mengkaji faktor lokasi rumah, kos pengangkutan dan lokasinya bekerja.

Selepas menentukan kesemua faktor terbabit, dia membuat keputusan untuk membeli rumah berdasarkan kelayakan, lokasi kediaman berhampiran tempat tinggal ibu bapa, mentua dan tempat bekerja.

“Mujur ketika saya sibuk mencari maklumat, kerajaan memperkenalkan program rumah mampu milik bagi golongan muda.

“Saya mengambil keputusan untuk memohon dan memiliki rumah melalui program Residensi Wilayah (Rumawip) di Rumawip Pandanmas 2, Kuala Lumpur.

“Saya membeli rumah terbabit pada 2016 dengan harga RM300,000 dan projek itu siap sepenuhnya pada 2018,” katanya.

Selepas menerima kunci pada 2018, Fadhlullah melakukan pemeriksaan terlebih dahulu di setiap sudut dinding dan lantai.

“Perkara asas ini perlu diselesaikan dahulu sebelum pengubahsuaian dilakukan.

“Sebagai pembeli kita mempunyai hak untuk meminta pemaju membuat semakan dan membetulkan kesan kerosakan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 6:00 AM