KERAJAAN laksana pelbagai langkah termasuk galak pemaju terus bina kediaman mampu milik. FOTO Nurul Shafina Jemenon
KERAJAAN laksana pelbagai langkah termasuk galak pemaju terus bina kediaman mampu milik. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Hafiz Ithnin

PEMBIAYAAN sering menjadi satu daripada perkara keutamaan bakal pembeli rumah. Mana tidaknya, faktor pembiayaan antara kunci utama si pembeli untuk mendapatkan rumah idaman mereka.

Melainkan bakal pembeli itu mempunyai kewangan yang kukuh atau aliran tunai baik untuk membuat pembayaran penuh kepada pemaju.

Pada tahun lalu, berlaku isu kediaman yang tidak terjual. Faktornya tidak perlu dicanang lagi, pasti berkaitan harga yang ditawarkan terlalu tinggi dan tidak mampu dimiliki bakal pembeli.

Melihat kepada keadaan itu, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan industri itu tidak terjejas termasuk menawarkan pelbagai skim perumahan kepada pembeli dan menggalakkan pemaju supaya terus membina kediaman mampu milik.

Jika tidak, kemerosotan industri hartanah mampu memberi kesan negatif kepada ekonomi domestik tempatan.

Selain itu, baru-baru ini Bank Negara Malaysia (BNM) turut menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 0.25 kepada 2.50 peratus dan ia memberi kesan kepada industri perbankan apabila turut menurunkan Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) beberapa kali sejak tahun lalu sehingga bulan ini.

Sekali gus, perkara ini membantu bakal pembeli kediaman supaya boleh ditawarkan pembayaran ansuran bulanan kepada bank yang lebih rendah.

Paling mendapat perhatian pastinya penurunan OPR itu juga memberi kesan kepada penyusutan kadar faedah yang membantu lebih ramai bakal pembeli kediaman mudah mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

Bekas Pengerusi Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (Aibim), Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, situasi itu amat membantu orang ramai untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank sekiranya mereka mempunyai Nisbah Khidmat Hutang (DSR) yang baik.

MEMPUNYAI pengurusan kewangan penting sebelum membeli kediaman. FOTO Mikail Ong
MEMPUNYAI pengurusan kewangan penting sebelum membeli kediaman. FOTO Mikail Ong

Beliau berkata, ketika ini secara purata DSR yang ditetapkan bank kepada bakal peminjam nisbah 30:70 iaitu 30 peratus wang untuk perbelanjaan peribadi dan 70 peratus pembiayaan. Bagaimanapun, ia bergantung kepada bank untuk menentukan nisbah berkenaan kepada pelanggan mereka.

“Jika dilihat kepada permohonan pembiayaan yang ditolak boleh saya katakan hanya 30 peratus. Itu pun kerana mereka mempunyai nisbah komitmen pembiayaan yang terlalu tinggi terutama atas faktor pembiayaan kenderaan dan hutang kad kredit.

“Jadi, apabila bakal pembeli rumah itu dilihat mempunyai komitmen pembiayaan yang tinggi pastinya bank juga sukar untuk meluluskan pinjaman mereka kerana khuatir pada masa depan mereka gagal untuk membuat bayaran ansuran ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, bakal pembeli rumah juga dinasihatkan mempunyai simpanan tunai yang mencukupi terutama bagi persediaan membuat bayaran 10 peratus pembelian kediaman kepada pemaju.

Selain tidak hanya bergantung sepenuhnya pada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semata-mata. Simpanan tunai yang mencukupi selepas memiliki rumah juga adalah amat perlu.

MENGGUNAKAN wang simpanan KWSP sahaja tidak mencukupi untuk selesa dalam pembelian kediaman. FOTO Iqmal Haqim Rosman
MENGGUNAKAN wang simpanan KWSP sahaja tidak mencukupi untuk selesa dalam pembelian kediaman. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Katanya, tiada bank yang sanggup memberikan 100 peratus pembiayaan kepada pelanggan mereka kerana 10 peratus wang pendahuluan itu menunjukkan komitmen dan memberi kepercayaan kepada bank untuk meluluskan baki pembelian rumah itu.

“Penting bagi mereka yang ingin membeli kediaman ini mempunyai aliran tunai baik kerana bank sendiri tidak mahu mereka terbeban dengan komitmen bayaran ansuran bulanan yang tinggi.

“Maka, mereka perlu mempunyai perancangan atau strategi yang baik untuk menabung bagi membeli kediaman memandangkan ia mempunyai kos yang tinggi dalam proses memilikinya dan selepas mendapat kunci,” katanya.

Ditanya mengenai usia yang baik bagi seseorang bakal pembeli itu mudah mendapatkan pembiayaan perumahan, katanya, ketika ini terdapat bank yang meluluskan pembiayaan perumahan kepada mereka yang berusia melebihi 60 tahun.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada aliran tunai yang dimiliki individu berkenaan.

“Perkara ini subjektif, tetapi saya mencadangkan mereka yang berusia di bawah 35 tahun ideal untuk membuat permohonan pembiayaan kerana mereka ketika itu masih tidak mempunyai komitmen kewangan yang tinggi terutama perbelanjaan keluarga.

“Namun, ia juga berbalik kepada DSR bakal peminjam kerana jika usia muda, tetapi mempunyai komitmen pembiayaan yang tinggi pastinya sukar untuk bank meluluskan pembiayaan kepada mereka atau dalam kata lain, mereka perlu mencantikkan semula nisbah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, perkara yang perlu dilihat ketika ini adalah isu tawaran harga rumah di pasaran ketika ini tidak seiringan dengan pendapatan rakyat yang sekali gus menyukarkan mereka untuk mendapat pembiayaan daripada bank.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe