X
Nurul Husna Mahmud

DALAM memiliki hartanah salah satu proses sering diabai pemiliknya adalah insurans perlindungan aset berkenaan.

Biasanya aspek ini kurang diperincikan dan pemilik hanya mengetahui wajib untuk mendapatkan polisi berkenaan sebagai syarat untuk memiliki kediaman.

Sejauh manakah anda memahami polisi sedia ada dalam hak sebagai pemilik hartanah? Kebanyakan masih kurang arif kerana memikirkan insiden kemalangan dan kerosakan mahupun kemusnahan jarang berlaku pada kediaman baharu.

Salah seorang pemilik kediaman teres satu tingkat di Kota Kinabalu, Sabah Jennefer Yasang, 29, menyifatkan dia hanya tahu komitmen melunaskan pembayaran premium untuk hartanah berkenaan dilakukan sebaik tiba hujung tahun.

"Saya membeli rumah sejak tiga tahun lalu hanya tahu insurans wajib dilanggan pemilik kediaman sebagai perlindungan apabila berlakunya insiden seperti kebakaran. Kelebihan jika premium masih ada, insurans terbabit boleh membantu melunaskan ansuran bulanan.

"Perincian lain saya kurang pasti tetapi ada juga ejen rumah berkenaan memaklumkan ada pakej lain seperti insurans kebakaran berasingan boleh dilanggan untuk memberi optimum terhadap aset mahupun barangan terdapat dalam kediaman berkenaan.

HARTANAH perlu dilindungi dengan polisi yang betul.
HARTANAH perlu dilindungi dengan polisi yang betul.

"Saya tidak melanggan pakej berasingan itu kerana beranggapan insurans sedia ada sudah memadai dalam membantu melindungi keperluan dan masih mengikut kemampuan," katanya.

Bagi eksekutif swasta Yasir Izzat, 31, tiada pilihan buatnya menetap di kediaman jenis apartmen kerana pihak pengurusan bangunan menetapkan pembayaran insurans berkenaan dilunas pada surcaj penyelenggaraan setiap bulan.

"Ketika beli rumah ini ada pihak peguam menerangkan ada caj insurans berasingan perlu dibayar kepada pihak pengurusan bangunan kerana mereka ini bertanggungjawab dalam menyelenggarakan bangunan demikian.

"Cumanya ia ditanggung pemilik tetapi kurang dirasai (komitmen bayaran) kerana dimasukkan dalam caj selenggara perlu dilangsaikan setiap bulan. Mengenai manfaat saya kurang pasti dan bagaimana ia boleh dituntut jika berlaku kemalangan," katanya.

Mengulas pengetahuan umum terutama pemilik hartanah terhadap polisi perlindungan dilanggan mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) Mark Lim Kian Wei, adalah amat penting mengetahui perincian terhadap perkara dilindungi insurans berkenaan.

"Insurans hartanah akan membantu pemilik hartanah untuk mengurangkan kerugian sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini tertakluk kepada terma dan syarat di bawah polisi insurans masing-masing.

KEBAKARAN antara insiden mengapa kediaman perlu ada perlindungan.
KEBAKARAN antara insiden mengapa kediaman perlu ada perlindungan.

"Ini penting dalam membantu meringankan tanggungan kerugian kewangan pemegang polisi dan membolehkan mereka melakukan pemulihan terhadap hartanah dikembalikan ke keadaan asal pada waktu sesingkat mungkin," katanya.

Ditanya mengenai siapa yang tertakluk dalam perlindungan berkenaan, kata Mark pemilik sebarang kediaman atau hartanah perlu tahu kesesuaian polisi mengikut keperluan masing-masing.

"Semestinya tanggungjawab pemilik polisi atau pembeli hartanah untuk mencari perlindungan terbaik bagi aset penting mereka.

"Harga tidak boleh menjadi pertimbangan tunggal kerana liputan, terma dan syarat mungkin berbeza antara satu syarikat insurans dengan syarikat insurans yang lain.

"Pemilik hartanah mesti memastikan bahawa harta benda mereka diinsuranskan dengan secukupnya dan jika terdapat keraguan, tanggungjawab mereka untuk rujuk ejen mahupun syarikat insurans berkenaan," katanya.

Menerangkan insurans hartanah ketika ditawarkan katanya, ia meliputi polisi asas kebakaran, pemilik rumah dan penjaga rumah. Tujuannya melindungi bangunan dan harta benda dalam bangunan disebabkan kebakaran, kilat, letupan gas domestik dan juga insiden bahaya lain mengikut premium tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 7:01 AM