Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


MENDAPATKAN bentuk tubuh langsing, cantik dan menggiurkan memang idaman ramai wanita. Namun, ia bukanlah semudah mengenakan bengkung, menyapu losen, menghirup bau minyak aroma terapi, menelan pil atau meneguk pelbagai jus pengurus badan.

Sejak bertahun dulu, kerajaan giat menyedarkan orang ramai mengenai kesan buruk pengambilan produk peramping dan rawatan membakar lemak yang akhirnya membawa kepada kerosakan organ dalaman. Bahkan ada juga mangsa yang meninggal dunia.

Namun, demi tampil cantik menawan, ramai wanita sanggup membutakan mata dan memekakkan telinga. Mereka sanggup bergadai nyawa dan wang tanpa memikirkan kesan sampingan, risiko tertipu atau mempertimbangkan kesahihan dakwaan pengusaha me­ngenai kemujaraban produk yang ditawarkan.

Terbaharu, isu bengkung dan korset bangkit kembali. Netizen dilihat menyelar sesama sendiri berikutan ada kelompok menyokong usaha selebriti kesayangan mereka memperkenalkan beng­kung yang didakwa mampu menghasilkan bentuk tubuh menawan.

Hasut maya di media sosial berterusan. Bermula dengan teguran baik, muat naik kartun berdialog sinis, tidak kurang juga perbandingan fakta dengan dakwaan dibuat pengusaha, masing-masing kreatif melempar kritikan.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Patricia Lim Su-Lyn, beng­kung sebenarnya berfungsi sebagai alat untuk menyokong masalah tulang belakang dan membantu pemulihan tubuh selepas bersalin atau menjalani pembedahan besar.

“Bengkung lazimnya banyak digunakan untuk tujuan perubatan. Sementara korset pula banyak diperkenalkan pengusaha pakaian dalam untuk menyempurnakan penampilan tubuh pemakai ketika mereka menggayakan busana seperti kebaya dan gaun.

“Ada bengkung yang berfungsi menyokong otot perut, ada dikhaskan untuk tulang belakang dan ada juga dikhususkan untuk seluruh tubuh (korset).

“Dari segi perubatan, kita lazimnya fokus kepada bengkung untuk perut. Ia boleh didapati mengikut saiz tubuh dan material digunakan selalunya jenis Velcro (dikancing menggunakan sepasang pita nilon). Bengkung ini berfungsi memberi sokongan pada tubuh.

“Selain itu, ada juga bengkung yang dipakai untuk menyokong kandungan ketika hamil tetapi yang ini kita panggil ‘belly band’ dan ia dibuat daripada fabrik kapas atau spandeks,” katanya.


DR Patricia Lim menunjukkan cara pemakaian bengkung.

TIGA SITUASI PERLU BENGKUNG

Jelas Dr Patricia, terdapat tiga situasi penting yang benar-benar memerlukan seseorang itu memakai beng­kung. Biarpun menjurus ke arah perubatan, sedikit sebanyak, pemakaiannya masih boleh dikaitkan dengan tujuan mencantikkan dan meningkatkan keyakinan diri.

1. Skoliosis

Pesakit tulang belakang bengkok perlu menggunakan bengkung untuk mendapatkan sokongan tubuh dan mengurangkan kesan kesakitan yang dihadapi.

Antara simptom penyakit ini adalah kerap sakit belakang. Bagi wanita yang menghadapi masalah ini, mereka dinasihatkan memakai bengkung sebelum, ketika dan selepas hamil.

2. Diastasis recti

Masalah pasca persalinan ini memang jarang dibicarakan. Ia terjadi apabila otot perut ibu hamil terpisah akibat kehamilan yang semakin besar.

Otot perut berfungsi menyokong janin di bahagian tengah. Namun, bagi sesetengah wanita, risiko ini terjadi ketika trimester ketiga. Otot akan terbuka dan membentuk satu ruang di tengah permukaan perut. Dalam keadaan ini, wanita mudah berasa lemah pada bahagian depan perut dan sakit di bawah belakang.

Apabila mengusap perut, dia juga dapat rasakan kesan regang di bahagian tengah. Oleh itu, selepas bersalin, wanita yang alami masalah ini digalakkan memakai bengkung khas supaya ada sokongan pada otot depan.

3. Selepas pembedahan abdomen

Bagi wanita yang bersalin secara pembedahan atau individu obes yang dibedah di bahagian perut, mereka digalakkan memakai perekat perut (abdominal binder). Sesetengah orang memanggilnya girdel.

Ia berfungsi memberi sokongan pada otot depan (otot rektus) bagi mengelak risiko hernia atau angin pasang. Ini kerana, ketika pembedahan, kulit perut akan dibelah, diikuti lemak dan satu tisu tegang dipanggil rektus. Di bawahnya, terdapat satu lagi tisu yang membahagikan kulit dengan organ dalaman. Apabila rektus sudah longgar atau lemah, seseorang itu boleh mendapat risiko hernia.

TIADA KAJIAN BUKTI KURUS

Menyelar tindakan segelintir selebriti dan usahawan yang berani mengeluarkan pelbagai jaminan untuk penggunaan produk mereka, Dr Patricia Lim berkata, pengguna seharusnya bertindak bijak berbanding terpengaruh dengan pelbagai dakwaan kosong.

“Kalau ada kenyataan yang mengatakan bengkung boleh melangsingkan badan, mengurang berat, itu semua belum ada bukti kukuh. Apa yang kita lihat hari ini, pemakaian bengkung hanya boleh bantu wanita dapatkan bentuk badan ramping ketika memakainya.

“Tapi untuk kurangkan berat badan dengan hanya pakai bengkung memang tiada bukti. Kita kena tengok logik juga...kalau seseorang itu hendak menghilangkan berat badan, dia perlulah mengamalkan diet seimbang dan bersenam.

“Kalau tidak buat kedua-dua ini, bagaimana hendak kurus? Ada pula yang dakwa bengkung mereka boleh bentukkan pinggang kerengga dan melanjutkan nyawa. Lagi saya tidak percaya,” katanya.

Katanya, orang ramai perlu tahu fungsi sebenar bengkung dan mendapatkan penjelasan tepat berhubung penggunaannya daripada mereka yang lebih pakar.

“Sesetengah penjual kata bengkung mereka ada fungsi inframerah yang boleh memecahkan lemak. Sebenarnya, tiada bukti mengatakan inframerah boleh melangsingkan badan. Bahkan ia menyebabkan penuaan kulit pramatang.

“Jadi, kalau hendak tahu mengenai bengkung, buatlah sedikit kajian. Kita ada Internet untuk buat carian. Lihat jika ada pusat kajian atau pakar yang diiktiraf bercakap mengenai manfaat bengkung. Bukan tanya pelakon, usahawan produk dan sebagainya.

“Bengkung ini tidak lebih daripada memberi sokongan saja. Ia perlu untuk pastikan proses penyembuhan otot abdomen berjalan sempurna, kurangkan risiko hernia dan sokong tulang belakang.

“Ada juga yang kata pemakaian bengkung dengan ketat boleh menekan organ tubuh. Sebenarnya, organ kita memang ada tempat sendiri. Jadi, tidak mungkin ia menyempit kecuali berlaku kepada mereka yang pernah mengalami kecederaan pada hati,” katanya.

Dr Patricia berkata, pemakaian bengkung yang ketat memang tidak digalakkan untuk mengelak jahitan tercabut atau terbuka. Namun, ia tidak menghalang organ untuk berada di tempat yang betul.

“Saya nasihatkan, kalau pakai bengkung depan, jangan ketat sangat. Jika pesakit baru menjalani pembedahan besar dan obes, mereka kena pakai dengan selesa. Jangan sampai tidak boleh duduk atau buat kerja lain.

“Perlu diketahui juga pemakaian bengkung selepas bersalin tidak menyebabkan peranakan jatuh. Peranakan wanita ada sokongan tersendiri. Sama ada pakai bengkung atau tidak, ia memang tidak memberi kesan kepada peranakan.

“Apa yang sebabkan peranakan jatuh adalah apabila ibu melahirkan ramai anak, anak dilahirkan besar melebihi empat kilogram, bersalin menggunakan kaedah forsep atau memang ada kelemahan otot. Selain itu, tiada bukti saintifik mengatakan pakai bengkung boleh menyebabkan peranakan jatuh,” katanya.


PEMAKAIAN bengkung lazimnya untuk tujuan kesihatan.

CANTIK TAPI BERBAU

Berbicara soal cantik apabila seseorang itu mengenakan bengkung, Dr Patricia Lim percaya, ia dilakukan wanita mengikut had dan keperluan majlis.

“Pakai bengkung atau korset mengikut saiz tubuh memang ada kebaikan. Tapi bukan bengkung saja, pakaian dalam juga perlu mengikut saiz yang betul untuk mendapatkan bentuk tubuh menarik. Jika tidak, ketulan lemak akan nampak di mana-mana.

“Jadi, tiada masalah kalau hendak pakai bengkung untuk cantik sekali sekala. Isunya bila anda pakai untuk jangka masa yang lama, sehari suntuk atau diulang pakai.

“Ini memang tidak sesuai, tambahan material bengkung yang tebal, ketat dan mudah merangsang peluh. Bagi mereka yang ada masalah kulit seperti ekzema atau mudah berpeluh, keadaan akan bertambah teruk.

“Orang yang mudah berpeluh, boleh alami masalah badan berbau. Jadi, mana satu kita mahu? Cantik atau badan berbau?” soalnya.

Kata Dr Patricia, pemakaian bengkung juga mungkin boleh memberi kesan sama seperti mengenakan seluar dalam ketat yang mudah menyebabkan pertumbuhan jerawat dan kulit sensitif.

“Material bengkung lazimnya tiada pengudaraan yang baik. Jadi kita tidak galakkan wanita memakai bengkung berlebihan. Lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca Malaysia yang kini berjerebu.

“Jika hendak bergaya sekejap, ke majlis makan malam, mahu menyarung kebaya, itu tidak mengapa. Badan nampak lebih cantik dan sopan. Tapi kalau setiap hari, tidak sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:30 AM
FUNGSI sebenar untuk sokong masalah tulang belakang, bantu pemulihan tubuh selepas bersalin atau pembedahan besar.