FOTO HIASAN
Muhammad Rafee Harun

Peguam dari Messrs Rafee Syafiq & Co

Dalam kerancakan dunia digital dengan semua maklumat di hujung jari, namun apabila bercakap mengenai perundangan, masih ramai wanita kurang tahu atau tidak tahu langsung mengenai haknya.

Ia mungkin disebabkan topik membabitkan undang-undang adalah berat ditambah pula dengan bahasa perundangan yang kompleks, rumit dan sukar difahami membuatkan ramai wanita tidak berminat menjadikan ia sebagai bahan bacaan ‘wajib’.

Namun ia adalah satu cabang ilmu yang perlu didekati dan difahami kerana setiap wanita akan melalui banyak fasa kehidupan yang terikat dalam perundangan khususnya membabitkan hukum syariah.

Sering kali kita melihat banyak kes wanita khususnya yang bergelar isteri dianiaya dan ditindas hanya kerana tidak tahu haknya yang dilindungi undang-undang.

Justeru, sebagai mukadimah, WM membawakan topik ini secara santai supaya kita sama-sama mendapat manfaatnya dalam usaha melahirkan lebih ramai wanita yang tahu haknya dan perundangan.

Wanita bukan sekadar perlu melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat paling tinggi, belajar berhias dan menjaga keterampilan diri tetapi dia juga perlu mendalami ilmu sosial dan perhubungan.

Malah wanita juga perlu tahu haknya terutama dalam perundangan Islam dan penyelesaian terbaik apabila berdepan pelbagai persoalan yang bermula sebelum berkahwin iaitu tempoh memilih bakal suami dan bertunang.

Antara menjadi persoalan utama wanita yang dalam proses memilih bakal suami ialah adakah berhak menolak untuk berkahwin dengan lelaki bukan pilihan hatinya?

Tidak kira berapa pun usia seseorang wanita itu, dia ada hak memilih. Dia ada hak menolak calon yang dirasakan tidak menepati keinginannya (terutama membabitkan isu agama dan ibadah) walaupun itu adalah pilihan ibu bapa.

Ada kala pilihan kita tidak mendapat restu orang tua. Ada kala pula calon pilihan ibu bapa tidak membuatkan hati gembira. Apa pun situasinya, berbincanglah dengan baik kerana sebaik mendirikan rumah tangga, anda terikat dengan lebih banyak isu.

Hak wanita sebelum berkahwin:

1). Hak memilih lelaki yang soleh dan sekufu. Sekufu bermakna sepadan. Ia dinilai dari sudut: Kedudukan, Kekayaan, Pendidikan, Agama, Paras rupa, Tahap kesihatan, Corak pemikiran.

2). Sekiranya pilihan keluarga, boleh lakukan perbincangan.

Wanita punya hak untuk menolak pilihan keluarga, tetapi tolaklah dengan baik supaya tidak mengecilkan perasaan ibu bapa. Banyakkan berdoa semoga Allah memberikan jodoh yang terbaik untuk anda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 5:30 AM