Qayyim (kiri) amanah teristimewa.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Kasih ibu membawa ke syurga, berkorban nyawa, tenaga dan masa bermula detik disahkan hamil sehinggalah proses melahirkan.

Tiada kata yang dapat membayangkan betapa besarnya pengorbanan insan bergelar ibu terutama dalam membesarkan cahaya mata. Wanita keramat itu sanggup menerima apa saja kekurangan malah akan menjaga amanah Allah SWT itu sebaik mungkin walaupun ditakdirkan memiliki cahaya mata istimewa.

Kisah Hasiah Ahmad, 40, bersama anak syurganya, Muhammad Nur Qayyim Kazim Nor Tamizi, 18, atau lebih mesra dengan panggilan Qayyim membuktikan betapa agungnya kasih sayang seorang ibu yang tidak ada tolok bandingnya.

Muhammad Nur Qayyim Kazim disahkan mengalami masalah autisme yang tidak boleh bertutur sejak berusia dua tahun, sering tantrum sehingga mencederakan diri sendiri juga kedua-dua ibu bapa menjadi cabaran terbesar yang perlu digalas Hasiah bersama suami dalam membesarkan anak keduanya itu.

Berkongsi cerita, Hasiah berkata, anak istimewanya itu dilahirkan sihat seperti bayi normal lain dengan berat tiga kilogram (kg) selain melalui proses pembesaran normal seperti meniarap, merangkak, bertatih, berjalan dan kemudiannya belajar bercakap.

“Semuanya berjalan seperti biasa sehinggalah dia berusia dua tahun. Tiba-tiba Muhammad Nur Qayyim Kazim berhenti bercakap dan tidak mahu berkawan dengan rakan sebayanya.

“Dia suka menyendiri, apabila diberikan permainan seperti lori atau kereta dia akan mencabut tayar permainan itu. Dia suka berpusing-pusing sehingga khayal dalam dunianya sendiri,” katanya.

Menurut Hasiah, naluri keibuannya mula merasakan sesuatu sehinggalah dia mendengar satu forum di televisyen yang mengupas mengenai kanak-kanak autisme.

“Mungkin itu adalah jawapan kepada semua pertanyaan saya mengenai dia. Saya khusyuk mendengar kupasan isu itu sebelum mula mengenal pasti ciri-ciri yang disebutkan itu ada pada anak saya.

“Seluruh tubuh saya menggigil kerana terlalu risau dan sedih namun saya kuatkan diri dan cuba positif. Saya dan suami membawanya bertemu pakar dan ceritakan semua mengenai anak saya. Selepas mendengar penerangan saya, pakar meminta kami keluar sebentar supaya dia boleh berdua dengan anak,” ujarnya.

Selepas 20 minit, mereka dipanggil masuk semula dan diberikan penjelasan oleh pakar.

“Pakar maklumkan beberapa ujian sudah dilakukan ke atas anaknya selain mendapati Muhammad Nur Qayyim Kazim tidak mempunyai hubungan mata atau tidak boleh fokus di mana matanya sentiasa bergerak-gerak dan tidak mahu memandang apabila dipanggil.

“Pakar juga mengesahkan dia ada ciri autisme namun masih belum boleh dikategorikan begitu disebabkan usianya baru dua tahun. Ketika itu saya ibarat tidak mampu berdiri selain mula menyalahkan takdir. Apabila hati tenang, saya mula menerima hakikat dan ketentuan Allah,” katanya.


MUHAMMAD Nur Qayyim Kazim (kiri) bersama ibu bapa dan adik -beradiknya

TERIMA DENGAN REDA

Hasiah berkata, dia kuatkan diri untuk memastikan dapat menjaga amanah teristimewa itu sebaik mungkin.

“Saya cuba didik dia sama seperti kanak-kanak normal lain. Saya ajar dia ke tandas, uruskan diri seperti mandi dan gosok gigi, pakai baju dan menyuap makanan.

“Alhamdulillah, dalam kekurangan dirinya dan walaupun langsung tidak boleh bercakap,

dia anak yang mudah belajar cuma kami perlu sabar berdepan emosinya yang tidak menentu selain mereka susah untuk fokus dan mahukan semuanya cepat,” ujarnya.

Menurut Hasiah, dia sekeluarga juga perlu bijak kala berdepan tantrum anaknya yang datang tanpa diduga.

“Apabila dia tantrum, kami perlu bijak bertindak supaya dia tidak mencederakan dirinya. Pada masa sama, kami perlu berhati-hati kerana dia juga cenderung untuk mencederakan kami.

“Kini dia sudah berusia 18 tahun dan syukur secara perlahan-lahan semuanya semakin dipermudahkan. Dia sudah boleh berdikari walaupun masih memerlukan pemantauan. Sehingga kini saya masih terus membawanya bertemu pakar psikiatri untuk mendapatkan ubat tidur supaya dia boleh tidur dan kawal tantrumnya,” katanya.

Tambah Hasiah, dari aspek pembelajaran, Muhammad Nur Qayyim Kazim sudah dihantar ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sejak dia berusia tiga tahun hingga kini.

“Walau sukar saya tetap mahu menjaganya selagi hayat dikandung badan. Perkongsian saya mengenai anak istimewa saya ini hanyalah untuk memberi semangat kepada ibu bapa lain yang turut mempunyai cahaya mata istimewa.

“Jangan malu atau menyalahkan takdir, terima anak dengan seikhlas hati kerana dia adalah darah daging kita sendiri. Bahkan kita sepatutnya bersyukur kerana terpilih untuk bersama-sama dan menjaga anak syurga sepertinya,” ujarnya.

Menurutnya, ibu bapa yang mempunyai cahaya mata yang menunjukkan sebarang perbezaan dengan kanak-kanak normal disaran segera bertemu pakar untuk pemeriksaan awal.

“Jangan menafikan hakikat dan menganggap tiada apa yang berlaku hanya disebabkan tidak berani berdepan takdir sekiranya mempunyai anak istimewa.

“Percayalah mereka banyak kelebihan dan kesabaran kita sebagai ibu bapa dalam membesarkan anak istimewa ini tentu ada hikmah yang menanti di kemudian hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:00 AM