LAKUKAN perbincangan sebelum memilih tadika anak.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Pilihan pertama: Bayaran pendaftaran: RM2,000. Yuran bulanan: RM350 untuk separuh sesi dan RM500 untuk sesi sehari penuh. Kos setahun: antara RM6,200 hingga RM8,000! Kelebihannya, ia terkenal dan dekat dengan rumah.

Pilihan kedua: Bayaran pendaftaran RM1,200, yuran bulanan RM150 hingga RM300 dan kos setahun antara RM3,000 hingga RM4,800 tetapi jaraknya agak jauh dan perlukan perkhidmatan van sekolah.

Berpeluh ibu bapa memikirkan bayaran untuk menghantar anak ke tadika. Kosnya hampir menyaingi pelajar di institusi pengajian tinggi. Itu belum masuk bayaran pengangkutan dan penjagaan tambahan di rumah transit (penjaga) sebelum ibu dan bapa pulang ke rumah.

Mahu tidak mahu, terpaksa juga dikorek tabung simpanan untuk memberi pendidikan awal kepada si kecil yang biasanya dihantar ke tadika pada umur empat atau lima tahun. Hendak dihantar ke tadika yang mengenakan bayaran murah, jumlah pendapatan ibu bapa pula menyebabkan mereka terkeluar daripada kelompok yang layak.

Persoalannya, apakah dengan bayaran setinggi itu dapat menjamin anak yang dihantar berjaya menguasai keseluruhan subjek yang diajar atau sekurang-kurangnya lancar membaca, menulis dan mengira.

Bagi ibu bapa berkemampuan, semua itu tidak menjadi masalah namun terdapat sesetengah ibu bapa yang memilih tadika hanya disebabkan mahu mendapat nama atau pujian, walhal kewangan sendiri sebenarnya tidak mampu atau hanya cukup-cukup makan.

Memasuki September ini, kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak berusia empat hingga enam tahun mula sibuk membuat pilihan tadika terbaik untuk cahaya mata masing-masing.

Pelbagai kriteria mula difikirkan terutama membabitkan yuran pendaftaran, yuran bulanan, silibus pembelajaran, jarak dari rumah juga faktor sampingan lain yang mempengaruhi keputusan.

Namun trend terkini memperlihatkan ada segelintir ibu bapa yang terlalu taasub dengan sesuatu jenama tadika hingga sanggup mengeluarkan belanja besar yang sebenarnya di luar kemampuan bagi memastikan si anak dapat belajar di tadika ‘popular’ itu.

Apakah sebenarnya yang dimahukan ibu bapa? Adakah mahu cahaya matanya melalui proses pembelajaran terbaik atau sekadar mengejar populariti kerana mampu menghantar anak ke tadika mahal?

Mengupas mengenai pemilihan tadika buat cahaya mata, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Hazhari Ismail berkata, secara ringkasnya terdapat dua jenis tadika di negara ini yang perlu diketahui setiap ibu bapa.

Menurutnya, jenis pertama adalah yang betul-betul mementingkan aspek pendidikan dan pengasuhan kanak-kanak mengikut kriteria terbaik manakala yang kedua adalah tadika yang hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata.

“Atas faktor itu, ibu bapa tidak boleh tergesa-gesa atau sekadar mengikut trend masa kini, perlu teliti setiap sudut mengenai tadika yang ingin dipilih secara terperinci bagi mengelak sebarang masalah atau kekesalan di kemudian hari.

“Perlu ada usaha untuk duduk semeja meneliti dan membanding perbezaan tadika yang ingin dipilih terutama mengikut kemampuan diri. Tidak semestinya tadika yang yurannya rendah atau jenamanya tidak popular itu tidak bagus kerana apa yang penting adalah silibus dibawa dan cara didikan,” katanya.

Hazhari berkata, ibu bapa perlulah mengambil tahu pendekatan pembelajaran yang bakal dilalui anak yang mana proses itu tidak boleh terlalu formal dan perlu kurang kerja yang disiapkan di rumah.

“Kenal pasti jadual tadika itu dan ambil tahu antara rutin dan aktiviti tadika kerana semua itu sangat penting demi perkembangan minda kanak-kanak.

“Selain itu, ibu bapa perlu mengambil tahu sama ada tadika itu pernah mempunyai isu berbangkit termasuk isu tidak berdaftar dan paling utama mempunyai lesen operasi yang sah,” ujarnya.

Tambah Hazhari, ibu bapa perlu juga meneliti sama ada tenaga pengajar sekurang-kurangnya mempunyai diploma dan ke atas selari dengan hasrat kerajaan yang mewajibkan diploma sebagai syarat kelayakan minimum tenaga pengajar menjelang 2020.

“Tadika yang dipilih juga perlu melakukan aktiviti membabitkan ibu bapa bagi memastikan pihak tadika tidak menyorokkan sesuatu daripada pengetahuan ibu bapa.

“Lihat juga keadaan semasa tadika dan nisbah kanak-kanak di dalam kelas iaitu dua guru untuk 25 kanak-kanak, tidak boleh terlalu sesak dan keadaan persekitaran tadika perlulah selesa dan menyeronokkan bagi mewujudkan emosi gembira,” katanya.

Menurutnya, faktor bayaran yuran dan lokasi tadika dari rumah juga turut memainkan peranan utama dalam faktor pemilihan.

“Semua yang saya katakan tadi perlu menjadi keutamaan dalam membuat pilihan yang tepat untuk anak-anak anda. Jangan buat pilihan mengikut kehendak sendiri atau memilih tadika yang popular semata-mata.

“Pendidikan awal ini ibarat satu pelaburan jangka masa panjang dalam pembinaan modal insan anak-anak namun perlu diingat tadika bukanlah hotel atau rumah tumpangan sementara anda pergi bekerja,” ujarnya.

Tambahnya, kebijaksanaan anak bukanlah bergantung kepada aspek intelektual semata-mata malah lebih utama adalah perkembangan emosi dan sosial.

JANGAN TERIKUT-IKUT

Hazhari menambah, ibu bapa atau penjaga perlu bijak dalam melakukan keputusan dan jangan terikut-ikut kemampuan orang lain.

“Semua ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak namun berpijaklah di bumi nyata dan lihat kemampuan diri. Kos yuran atau jenama tadika tidak menjamin kebijaksanaan anak anda.

“Kenal pasti semua faktor penting dan jangan memilih mengikut nafsu. Utamakan anak anda kerana mereka sebenarnya langsung tidak tahu mengenai jenama tadika dan semuanya terletak kepada anda,” katanya.

Tambah Hazhari, ibu bapa juga boleh menukar tadika mengikut kesesuaian anak pada tahun berikutnya.

“Jika dalam tempoh setahun banyak perkara yang anda tidak puas hati atau anak kelihatan kurang seronok, tidak salah untuk anda memindahkan anak ke tadika lain namun sekali lagi perlu diingatkan, perkembangan kanak-kanak itu tidak sama. Ada yang cepat belajar dan ada juga yang lambat, oleh itu jangan membandingkan anak anda dengan anak orang lain.

“Sekiranya anda merasakan semuanya sudah berada dalam keadaan baik, berilah peluang kepada anak untuk menikmati zaman tadika kerana itu antara detik menyeronokkan dalam hidupnya,” ujarnya.

PEMBELAJARAN CERIA

Bagi Siti Nur Faezah Othman, dia memilih tadika Islam untuk anak sulungnya, Aiman Faheem Anuar Shahril, 5, sejak awal tahun ini.

Selain ia tadika baru, dia tertarik dengan konsep ‘playschool’ yang diketengahkan kerana daripada pembacaannya, kanak-kanak akan lebih cepat belajar jika berada dalam suasana yang menyeronokkan.

Persekitaran juga dalam keadaan terbaik dan silibus disediakan berdasarkan konsep Montessori, aktiviti yang melebihkan pembelajaran dalam cara permainan.

Tambahan pula lokasi tadika di Setia Alam tidak terlalu jauh dengan lokasi rumahnya di Meru, Klang.

Nurul Farhana Razali pula lebih tertarik kepada tadika berkonsepkan Islam di kawasan perumahannya untuk memberi pendidikan awal kepada Aleesya Nurani Muhammad ‘Ammar yang berusia lima tahun.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian anak yang sudah berjaya menghafaz surah lazim dan surah al-Mulk dalam tempoh sembilan bulan.

“Pemilihan tadika itu dilakukan supaya Aleesya Nurani melalui proses pembelajaran seimbang akademik dan ilmu agama selain pelajaran asas lain seperti

Bahasa Melayu, Inggeris, Sains dan Matematik. Malah yuran bulanan dan pendaftaran juga berpatutan dan tidak membebankan,” katanya.

Nuzurul Huda Zam Hasri menghantar Naurah Ameena Muhammad Afiq, 5, ke tadika berkonsepkan Inggeris dan Islam sejak dia berusia empat tahun.

“Silibus pembelajaran yang efektif dan jarak dekat dengan rumah. Ini kriteria utama bagi saya. Syukur Naurah Ameena sudah boleh membaca dan menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik. Paling penting dia sudah boleh solat dengan bacaan yang betul,” katanya.

Menurut Jannatul Alia Abu Samah, dia dan suami sepakat memilih tadika Islam untuk anaknya, Laila Jameela Nur Ilham Fezry yang menerima kemasukan kanak-kanak yang masih dalam proses belajar untuk bebas daripada lampin pakai buang.

“Selain itu, tadika berkenaan tidak mempunyai ramai pelajar yang membuatkan guru lebih fokus untuk mengajar dan yuran bulan juga sangat berpatutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:10 AM