Oleh Aida Adilah Mat


SEMUA orang suka ayam, bukan? Bermacam versi makanan berasaskan ayam boleh ditemui di negara kita daripada masakan berkuah, bergoreng hinggalah dijadikan perencah utama yang menaikkan rasa hidangan.

Ayam goreng juga ada pelbagai versi. Jemu dengan ayam goreng biasa, ada yang kreatif menggubah menu hingga terhasil sajian menggoda jiwa seperti ayam goreng berempah dan bersos istimewa selain yang ditawarkan di restoran makanan segera.

Namun sekali sekala apa kata anda cuba mengubah selera memasak ayam cara hotel mewah.

Hidangan mudah, namun rasanya cukup enak dan boleh dinikmati bersama nasi lemak, nasi campur atau nasi kerabu. Nak diratah saja pun sedap!

Tidak sukar untuk menyiapkan sajian ala hotel di rumah, kata Cef Lai Jian Wei dari Hotel Four Point By Sheraton yang berkongsi resipi ayam rangup sos Thai.

Berpengalaman dalam bidang masakan selama 20 tahun, Cef Jian Wei berkata, rasanya yang masam manis dengan menggunakan adunan istimewa dalam sos Thai pasti membuka selera keluarga.

Katanya, ayam rangup ini antara hidangan popular di hotel berkenaan dan sering menjadi menu pilihan pengunjung.

Keunikannya terletak pada bunga kantan yang menerbitkan rasa wangi dicampur hirisan mangga muda untuk menambahkan rasa istimewa.

“Resipi ini tidak pedas dan sesuai untuk keluarga yang ada anak kecil.

“Untuk menjadikan ayam kekal rangup dan tahan lebih lama, menggoreng dalam minyak yang banyak dan pastikan minyak itu betul-betul panas.

“Untuk sosnya, campurkan mangga muda, bawang besar yang diracik dan daun ketumbar ke dalam sos Thai. Tuangkan sos ini pada ayam goreng bagi memastikan kerangupannya tahan lebih lama,” katanya.

Katanya, dia gemar menggunakan bahagian paha atas yang sudah dibuang tulangnya kerana rasanya lebih sedap. Namun, jika resipinya sedap, mana-mana bahagian pun pasti boleh membuka selera!

BAHAN-BAHAN

Isi ayam

1 sudu teh gula

5 gram serbuk ayam

Garam secukup rasa

1 sudu teh serbuk lada hitam

1 biji telur

200 gram tepung jagung

1 biji bawang besar, diracik

1 biji mangga muda, dihiris halus

Sedikit daun ketumbar, diracik


BAHAN-BAHAN

Resipi sos Thai

200 gram sos plum

30 gram pes tom yam

10 gram bunga kantan

10 gram bawang putih

10 gram serai

5 gram serbuk ayam

60 mililiter air

CARA-CARA

1. Perap ayam bersama garam, serbuk ayam, serbuk lada hitam dan telur selama satu jam.


1

2. Salut ayam dengan tepung jagung dan goreng hingga masak.

3. Potong ayam yang sudah digoreng tadi.


2

4. Satukan semua bahan sos. Masukkan mangga muda, bawang besar dan daun ketumbar.


3

5. Tuang sos ke atas ayam goreng dan ia sedia dihidangkan.


4

5

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:20 AM
CEF Jian Wei bersama hidangan.