Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


ZIKIR memuji Allah SWT tidak pernah lekang dari bibir wanita ini sepanjang lebih satu jam mengurut. Sambil berceloteh mengenai bahagian tubuh yang perlu diperbetulkan, Siti Khadijah Abu Bakar, 44, tidak lokek berkongsi ilmu penjagaan diri.

Tidak lama kemudian, wanita ini kembali bersembang melayan pelbagai pertanyaan pelanggan yang mendapatkan khidmat urutannya hari itu.

Siti Khadijah adalah juruterapi cacat penglihatan. Wanita ini memiliki lima cahaya mata berusia antara tiga hingga 15 tahun. Sekilas pandang, tentu ramai tidak menyangka wanita ini sedang berdepan dugaan besar dalam hidup.

Wajahnya sentiasa tenang dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Kata Siti Khadijah, dia perlu menggalas tanggungjawab menyara kehidupan keluarga, mendidik anak dan bekerja selepas suaminya terlantar akibat serangan angin ahmar dua tahun lalu.

“Sekarang, sayalah ibu, sayalah bapa. Susah atau tidak, kena tempuhi juga. Sebagai pencari nafkah,

saya harus kuat semangat untuk berdepan cabaran dan ujian.

“Kalau hari ini saya tewas, kehidupan anak-anak dan suami juga akan terkesan. Disebabkan tanggungjawab yang berat, saya buat keputusan menghantar tiga anak ke sekolah berasrama.

“Anak sulung yang berusia 15 tahun di Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Abdullah, Raub anak kedua di SM Pendidikan Khas Setapak dan yang ketiga di Sekolah Islam Bersepadu (ATAH) di Keramat. Sementara anak keempat belajar di Pra-Sekolah Jalan Batu dan yang bongsu tinggal di rumah,” katanya.


TIDAK kedekut berkongsi ilmu dengan pelanggan.

URUS SEGALANYA

Menurut Siti Khadijah, untuk melancarkan kerja harian, dia bangun seawal jam 3.30 ke 4 pagi dan mula mengemas serta memastikan semua keperluan tersedia.

“Sebelum subuh saya akan mandikan suami dan menguruskan segala keperluannya. Selesai solat Subuh dan bersarapan, barulah saya keluar menghantar anak ke prasekolah.

“Kalau dulu, kerja bermula sekitar jam 10 pagi. Tetapi disebabkan sudah keluar awal untuk menghantar anak ke sekolah, saya mula kerja sekitar 8.30 ke 9 pagi.

“Tengah hari saya rehat dua jam, mengambil dan menghantar anak ke rumah. Kemudian saya datang semula ke pusat terapi dan meneruskan kerja sampai jam 8 ke 10 malam,” katanya.

Jelas Siti Khadijah, dia tidak berdepan masalah menghantar dan mengambil anaknya setiap hari kerana kedudukan rumah berdekatan stesen transit aliran ringan (LRT).

“Bagaimanapun, ada hari tertentu saya gunakan khidmat teksi untuk membawa pulang semua kelengkapan harian di pusat terapi seperti tuala, sarung bantal, kain batik, kain pelekat dan cadar. Ia perlu dicuci untuk dipakai pelanggan yang datang mendapatkan khidmat terapi setiap hari,” katanya.

BELAJAR DI BEIJING, GUANGZHOU

Ditanya bila dia mula menceburkan diri dalam bidang terapi urutan, Siti Khadijah menjawab dalam segan. Katanya, dia mula mengenal seni urutan pada 1996.

“Dulu, saya mempunyai tumor di kepala. Ahli keluarga ramai yang tidak tahu kerana saiznya tidak membahayakan. Saya pula kurang arif mengenai tumor. Jadi, bila doktor maklumkan keputusan MRI, saya dengar dengan tenang.

“Namun, setiap kali jumpa kawan, saya mengadu sakit kepala dan minta bantuan mereka mengurut. Siapa sangka, pada pemeriksaan seterusnya, doktor maklumkan tumor berkenaan sudah hilang,” katanya.

Selepas berfikir panjang, Siti Khadijah akhirnya membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai telefonis dan belajar mengurut dengan kawan-kawan yang berkemahiran.

“Pada penghujung 1996, saya mula tawarkan khidmat urutan sambilan di Brickfields. Ketika itu ilmu urutan tidak banyak. Saya cuma mengurut biasa-biasa.

“Lima tahun kemudian, saya ambil langkah besar dalam hidup dan nekad mendalami bidang urutan secara serius. Saya ke Beijing dan Guangzhou untuk belajar sambil melawat bagi mencari pengalaman.

“Pihak Persatuan Urut Orang Buta dan Persatuan Orang Buta Malaysia juga banyak membantu. Mereka bawa ramai cikgu dari China untuk mengajar orang buta yang berminat dalam bidang ini.

“Pada 2010, saya sekali lagi ke China untuk belajar di Beijing Massage Hospital. Saya ambil tiga kursus dalam satu masa dan uruskan semuanya dalam masa sebulan. Alhamdulillah, ilmu mengurut di sana banyak membantu saya

hari ini,” katanya yang popular dalam kalangan pelanggan kerana kemahirannya.

Selepas penulis merasai sendiri sentuhan tangannya, maka tidak hairan jika ada pelanggan yang perlu menunggu satu hingga dua bulan selepas membuat tempahan untuk mendapatkan khidmatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 5:10 AM
JURUTERAPI cacat penglihatan tenang cari nafkah selepas suami terlantar angin ahmar.