Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


RIUH rendah bengkel pembuatan coklat hari itu dengan gelagat pesakit dan pejuang kanser. Masing-masing dilihat teruja menghias acuan coklat mengikut kreativiti sendiri.

Lazimnya, aktiviti seumpama ini memang mudah membuatkan sesiapa saja lupa pada kesakitan, masalah, bebanan emosi atau tekanan yang dihadapi.

Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pinktober), Harriston bekerjasama dengan Yayasan Kanser Payudara untuk bengkel seni pembuatan coklat di Shamelin, Cheras.

Menariknya, selain berkongsi kemanisan coklat, program berkenaan turut mengajak pejuang kanser berkongsi pahit manis dilalui sepanjang didiagnosis dan akhirnya bebas daripada ancaman kanser.

Kisah dilalui Citra Dewi, 46, unik berbanding kebanyakan wanita senasib dengannya. Disahkan menghidap kanser payudara tiga tahun lalu, dunia wanita berperwatakan ceria ini bertukar gelap sekelip mata.

“Apabila doktor bertanya sama ada sudah bersedia untuk mendengar khabar berita, saya sudah jangkakan keputusannya positif. Saya minta doktor berterus terang. Saya tidak mahu menangis.

“Mendengar ia sah kanser, saya paksa diri untuk kekal positif. Saya ada anak perempuan yang masih kecil dan perlu lawan perasaan lemah.Bagaimanapun, saya tidak nafikan kanser mengubah keseluruhan hidup saya.

“Kalau dulu, saya banyak habiskan masa berseronok dan makan apa saja yang diingini. Selepas didiagnosis kanser tahap dua, saya terus hilang selera makan. Fokus diet hanya pada sayur dan buah,” katanya.

SOROK DARIPADA SUAMI

Menurut Citra, rawatan kansernya bermula lima hari sebelum Krismas. Dia terpaksa menjalani mastektomi (pembedahan pembuangan payudara), diikuti rekonstruktif (pembuatan semula) payudara.

“Semangat yang hilang berjaya dikutip semula ketika mengikuti satu forum kanser. Saya hadiri forum ini selepas tiga hari menjalani kemoterapi dengan memakai rambut palsu.

“Saya takut kelihatan hodoh. Namun, apabila menjengah masuk ke ruang dewan, saya kagum melihat betapa ramai pejuang dan bekas pesakit kanser berdepan kenyataan serupa. Di situlah, saya mula nekad untuk kembali sihat.

“Bagaimapun, ada satu hal yang tetap saya elak iaitu bertemu suami yang bekerja di Kedah, sementara saya di Kuala Lumpur. Bermula dengan pembedahan hingga tamat enam kitaran kemoterapi dan 15 sesi radioterapi, semuanya dilakukan tanpa pengetahuan suami.

“Seboleh-bolehnya saya mahu bersembunyi. Saya tidak mahu suami di sisi. Walaupun masih ada payudara, ia tidak lagi sempurna. Saya tidak mahu suami melihat diri saya yang berbeza. Kalau boleh, saya mahu mengelak sampai benar-benar bersedia,” katanya.

Jelas Citra, kesibukan kerja memberi ruang untuk dirinya mencipta pelbagai alasan. Perbezaan asal usul juga membantu melancarkan banyak pembohongan.

“Ketika rawatan pertama selepas pembedahan, saya beritahu suami yang saya terikat dengan kerja di Johor

selama tiga bulan. Dia tanya, kenapa lama sangat. Jadi, saya cuba redakan keadaan dengan mengatakan ia boleh jadi tiga minggu.

“Selepas tiga minggu, saya baru keluar hospital dan suami telefon lagi. Saya berbohong lagi mengatakan terpaksa bekerja di luar daerah. Apabila suami tanya di mana anak, Sierra Lovelyta, 11, saya cipta pembohongan lain.

“Banyak kali dia cuba hubungi saya ketika dalam proses rawatan dan beritahu hendak pulang. Saya cakap jangan balik kerana berada di Jakarta, Batam, Singapura dan sebagainya. Pembohongan ini berterusan hinggalah saya habiskan rawatan,” katanya.

Kata Citra, dia sukar untuk berterus terang. Lebih daripada itu, dia takut untuk berdepan suami dan berasa diri tidak cantik lagi.

“Kesan sampingan kemoterapi sangat teruk. Saya jadi sangat hodoh. Rambut tiada, muka pucat dan kening pun hilang. Apabila suami kata hendak pulang meraikan hari lahir saya pada September, saya menolak dengan alasan sibuk.

“Saya beritahu dia untuk pulang pada Krismas. Pada masa itulah saya sambut kepulangannya. Saya ke salun untuk disolek dan memakai rambut palsu. Rahsia yang tersimpan akhirnya terbuka selepas suami mula mengesyaki saya ada teman lelaki.

“Dia terkejut apabila melihat diri saya yang sebenar dan pada masa sama, dia juga bersedih kerana membiarkan saya berjuang sendirian. Kini, selepas hampir tiga tahun episod duka itu berlalu, saya nekad membantu lebih ramai pesakit dengan memberi sokongan moral buat mereka,” katanya tersenyum.

Selain Citra, tetamu turut mendengar kisah inspirasi pejuang kanser, Noorunnsah Jakkaria dan ucapan ringkas Pengarah Eksekutif Harriston Chocolate, Queenie Teng serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kanser Payudara, Surayati Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:15 AM
PESERTA kongsi pahit manis dilalui sepanjang didiagnosis sebelum bebas ancaman barah.