Oleh Siti Nadirah Hafidzin


SIAPA kata bersenam hanya boleh dilakukan dalam posisi berdiri mahupun berbaring? Ramai orang memberi alasan kesibukan harian di tempat kerja atau di rumah menjadi punca diri tidak boleh bersenam.

Pandanglah ke kiri dan kanan anda, sama ada di rumah mahupun pejabat, penggunaan komputer memaksa ramai orang bekerja dalam keadaan duduk dalam tempoh yang lama.

Duduk terlalu lama boleh melemahkan badan. Jadi, apa kata anda manfaatkan posisi ini untuk bersenam. Usahlah memikirkan jenis senaman jarang dilakukan yang memerlukan tunjuk ajar dan latihan konsisten kerana ia akan membuatkan anda lebih malas bersenam kerana tidak ingat langkah senaman yang rumit.

Dalam tempoh singkat dan langkah yang ringkas, senaman dalam posisi duduk di kerusi dapat melegakan kejang kaki, sakit pinggang, ketegangan bahu dan lenguh tengkuk. Malah ia juga dapat merehatkan mata dan minda buat seketika.

Senaman secara duduk ini juga boleh dilakukan bersama rakan sekerja ketika waktu rehat atau dengan pasangan dan anak jika anda berada di rumah.

Menurut jurulatih kecergasan bertauliah daripada Kelab Sihat Kasturi, Ros Azmira Zainuddin, bersenam dalam posisi duduk bukan saja mudah malah memberi kesan sama hebat dengan senaman lain.

“Senaman ini juga baik dalam membantu peredaran darah menjadi lebih lancar. Lebih penting ia boleh dilakukan di mana saja sama ada di rumah, pejabat mahupun di taman rekreasi asalkan mempunyai kerusi yang selesa dan stabil,” katanya.

Menyentuh mengenai langkah senaman, Ros Azmira berkata, terpulang kepada individu itu sendiri bagaimana dia mahu bergerak asalkan pergerakan dilakukan itu menyeluruh dan bukan sekadar bergerak setempat.

“Paling mudah pastikan anda bergerak ke semua sudut, boleh juga bergerak ke tepi dan menggunakan kerusi sebagai bahan senaman.

“Jangan takut untuk bergerak atau melakukan langkah senaman anda sendiri kerana jenis senaman menggunakan kerusi ini tidak terbatas dan anda berhak menentukan jenis senaman yang mahu dilakukan,” ujarnya.

Ros Azmira berkongsi langkah demi langkah senaman duduk di kerusi yang boleh dijadikan rujukan buat suri rumah mahupun wanita bekerjaya.

LANGKAH DEMI LANGKAH

1. DUDUK dengan selesa sebelum angkat sebelah kaki ke atas dan ampu menggunakan tangan. Lakukan untuk kedua-dua belah kaki.

2. BONGKOKKAN badan ke bawah sambil tangan cuba memegang kaki.


LANGKAH 1 dan 2

3. BUKA kedua-dua belah kaki dan tangan diturunkan ke bawah untuk meregangkan tangan dan kaki.

4. LURUSKAN sebelah tangan sambil tangan sebelah lagi menahan bebanan tangan.


LANGKAH 3 dan 4

5. TURUN dari kerusi sambil mencangkung dan tangan memegang kerusi di belakang.


LANGKAH 5

6. GUNAKAN kerusi untuk menahan beban badan sambil bertahan dalam kiraan 10.


LANGKAH 6

7. ANGKAT sebelah kaki dan letakkan di atas kerusi. Lakukan untuk kedua-dua belah kaki.

8. DUDUK dengan stabil sebelum gerakkan badan ke belakang dan kedua-dua tangan digunakan untuk menahan beban badan.


LANGKAH 7 dan 8

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:10 AM
SENAMAN atas kerusi mampu legakan kejang kaki, sakit pinggang.