Oleh Siti Zarinah Sahib


BERBEKALKAN berus, kain, sabun, mop dan plastik sampah, kedua-dua gadis manis ini yang juga penuntut Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) melakukan kerja pembersihan dan cucian rumah pelanggan setiap hujung minggu.

Walaupun berhadapan minyak, habuk dan

sampah, bagi Anis Amila Rosnan, 22, (Anis) dan Siti Nurul Hazwani Mohd Lukhman, 19, (Siti) ia bukan sesuatu yang menjijikkan kerana ia seperti membersihkan rumah sendiri.

Anis tertarik menyelami kerjaya sebagai pencuci rumah kerana ingin merasai kesusahan bekerja dalam lapangan yang sering dianggap kotor ini.

Belajar dalam kursus yang sama memudahkan Anis dan Siti merancang tugas.

“Kami tidak betah duduk diam. Selain mencuci rumah, kami juga mengambil tempahan kek secara dalam talian dan menjual beg yang diambil dari Indonesia.

“Ia bermula apabila diberitahu rakan mengenai Maideasy. Tertarik dengan pendekatan digunakan kami mula mendaftar. Selepas menjalani latihan sehari, kami memulakan cucian rumah pertama di sekitar Lembah Klang,” kata Siti.

Katanya, kali pertama membersihkan rumah pelanggan memang ada rasa takut dan gementar. Bimbang sekiranya bertemu tuan rumah yang cerewet atau kerja dilakukan tidak memenuhi piawaian mereka.

“Di rumah saya jarang buat kerja sebab ada pembantu rumah. Namun latihan yang diberi membuatkan saya mahir melakukan kerja cucian terutama apabila membabitkan kawasan tandas dan dapur,” katanya.

Sebagai pencuci rumah, mereka bukan hanya melakukan tugasan pembersihan malah turut ditawarkan tugas menghidangkan makanan untuk majlis keraian atau kenduri, menggosok dan melipat baju, mengemas stor atau memindahkan barang.

“Ini antara skop kerja kami. Di rumah pelanggan biasanya kami membersihkan dapur, ruang tamu, bilik tidur

dan bilik air. Kerja yang tidak sepatutnya atau tidak didaftarkan menerusi aplikasi tak akan dilayan.

“Namun kami pernah menerima kerja mencuci sangkar kucing sedangkan ia tidak dinyatakan ketika mendaftar. Disebabkan dia sudah membuat bayaran, kami terpaksa melakukannya,” katanya.

MEREKA tak kisah buat kerja dianggap tak ada ‘standard’ untuk dapatkan wang sampingan.

Kata Anis, ada juga tuan rumah yang cerewet meminta mereka membersihkan sehingga di luar rumah sedangkan ia tiada dalam skop tugas. Ada juga tuan rumah meminta hanya satu jam untuk mencuci rumah sedangkan kediamannya terlalu besar untuk dibersihkan dalam masa singkat.

“Kebanyakan mereka akan mempersoalkan kenapa tidak siap. Jadi kami terangkan dengan baik, banyak bahagian yang perlu dicuci jadi masa sejam memang tidak mencukupi. Kami menasihati mereka supaya mengambil dua atau tiga jam untuk tempahan seterusnya.

“Paling mencabar apabila berhadapan anjing di rumah pelanggan kerana ia akan menyukarkan kerja cucian,” katanya.

Namun, ramai tuan rumah yang baik hati, menyediakan makanan dan memberikan hadiah untuk dibawa pulang.

“Kebanyakannya tahu kami penuntut universiti, namun ramai juga menganggap kami pembantu rumah Indonesia. Jika ada yang bertanya baru kami jawab dan beritahu latar belakang sebenar.

“Mereka terkejut kerana tidak sangka pelajar universiti sanggup melakukan kerja begini,” katanya.

MASA FLEKSIBEL

“Saya pernah bekerja di pasar raya besar dengan bayaran gaji RM7 satu jam. Saya perlu bekerja lapan jam sehari atau jika bekerja sambilan masih perlu memenuhi waktu yang ditetapkan.

“Ia amat menyukarkan kerana sebagai pelajar diploma saya perlu menghadiri kelas setiap hari. Masa terluang hanya pada hujung minggu,” kata Muhammad Helmi Mohd Zamri, 19, yang juga penuntut Kolej Profesional Baitulmal, Cheras dalam jurusan Industri Halal.

Selepas lama mencari maklumat di Internet akhirnya Helmi bertemu laman web yang menawarkan khidmat pembantu rumah sambilan.

“Saya tertarik dengan bidang ini kerana masa kerja yang fleksibel. Saya boleh merancang masa sendiri dan bekerja mengikut waktu lapang. Malah, upahnya juga memuaskan.

“Dalam masa seminggu saya boleh mendapat RM200 dan kerja cucian hanya dilakukan pada hujung minggu. Pendapatan diterima juga bergantung kepada kerajinan masing-masing,” katanya.

Menurut Helmi, pada mulanya keluarga tidak bersetuju dia melakukan kerja yang dianggap kotor dan tiada standard ini kerana mereka mampu menyara pengajiannya. Namun selepas dijelaskan barulah mereka faham.

Kata Helmi, kerjaya ini membuatkan dia lebih prihatin dengan tugasan dilakukan ibu di rumah.

“Paling penting saya menjadi lebih pembersih dan pengemas. Pantang jumpa sampah di rumah atau lantai kotor, saya akan membersihkannya,” katanya.

Bagi penuntut jurusan Sains dan Biologi di Universiti Malaya, Shahid Miloud Aouache, kerja cucian dilakukan bagi menampung pengajian di kampus. Dalam sehari dia berjaya memperoleh RM100 hingga RM150 untuk kerja yang dilakukan selama empat hingga tujuh jam pada hujung minggu.

“Kali pertama, saya membersihkan rumah warga Jepun di Mont Kiara. Memang rasa janggal, tetapi saya lakukan seperti mengemas rumah sendiri.

“Paling mencabar ialah mencuci bilik air kerana perlu pastikan ia kering sebelum beredar. Jadi saya cuci bilik air dulu sebelum beralih ke kawasan lain,” katanya.

Shahid turut menasihati rakan seusia atau lepasan universiti agar tidak memilih kerja. Cuba apa saja kerjaya yang menjanjikan rezeki halal. Kadang-kadang kerjaya yang dipandang lekeh itulah yang mempunyai banyak kelebihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 5:30 AM
PELAJAR universiti bekerja sebagai pembantu rumah sambilan, dari kiri, Siti Nurulhazwani Mohd Lukhman, Muhammad Helmi Mohd Zamri dan Anis Amila Rosman.