‘PENAMPILAN’ memikat buang tanggapan hidangan berkhasiat hambar dan kurang enak
Oleh Siti Zarinah Sahib


USAHA menjaga kesihatan pada zaman sekarang menjadi semakin sukar berbanding dahulu disebabkan kesibukan kerja dan gaya pemakanan tidak sihat.

Walaupun amalan hidup aktif mula diperkenalkan dengan pelbagai jenis senaman dan diet, ia kurang menampakkan hasil apabila hampir separuh penduduk Malaysia masih mempunyai berat badan berlebihan, dengan kadar obesiti meningkat 300 peratus dalam masa hanya dua tahun.

Ini dirumitkan lagi dengan tanggapan makanan sihat membosankan atau tidak sedap. Lebih-lebih lagi apabila golongan muda kerap memilih makanan berdasarkan rupa yang menarik atau diukur hanya menerusi paparan Instagram.

Antara makanan sihat yang mula diperkenalkan tahun ini dan dijangka menjadi trend 2020, adalah poke bowl (mangkuk poke) iaitu satu konsep dari Hawaii yang merujuk kepada gabungan ramuan protein dan serat bersama perasa organik sihat.

Poke (disebut po-keh), bermaksud ‘hiris atau potong’ dalam bahasa Hawaii merujuk kepada potongan isi ikan mentah seperti tuna dan salmon yang diperap, kemudian diletakkan di atas nasi (soba) atau quinoa dengan taburan sayur dan sos umami di atasnya.


CEF Aaron (tiga dari kiri), Indra dan Pengarah Projek dan Pemasaran Azam Rimba Sdn Bhd, Chuah Chee Keong (kanan).

Ia mula diperkenalkan oleh nelayan yang memotong hasil sisa tangkapan seperti ikan menjadi potongan kecil dan memakannya bersama sayur di atas kapal. Lama-kelamaan ia menjadi budaya masyarakat Hawaii dan diambil sebagai menu sihat di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Menurut perintis gaya makanan poke bowl di Malaysia, Cef Aaron Lim yang juga pemilik Kubis & Kale, dia tertarik mengetengahkan konsep poke bowl disebabkan peningkatan kes obesiti yang kian membimbangkan di negara ini.

“Budaya makanan segera, makanan berminyak, banyak lemak, manis dan masin serta makan sepanjang masa menjadi amalan rakyat Malaysia sejak berzaman. Ia sememangnya sukar ditinggalkan.

“Menerusi mangkuk poke ini saya berharap ia dapat memberikan kita satu lagi mempunyai pilihan dan mencuba makanan sihat, namun dengan rasa yang sedap dan berwarna-warni. Ia sekali gus membuang tanggapan mengenai hidangan berkhasiat yang hambar dan kurang enak,” katanya.

Katanya, sajian poke bowl sememangnya disediakan untuk generasi baharu, khususnya pengguna media sosial yang mementingkan ‘penampilan’ makanan, rekaan dan warna memikat.

Walaupun poke bowl mengikut trend pemakanan dunia, ia tetap berpaksi kepada beberapa fakta iaitu menyajikan makanan mentah segar dan vegetarian (sayur-sayuran) seperti yang disarankan pakar pemakanan.

“Setiap hidangan menggunakan lebih banyak makanan segar, sejuk dan diperap khususnya salmon, tuna dan ayam. Ia disediakan dengan pilihan sos sayur-sayuran yang dihasilkan sendiri seperti mangga, manakala golongan vegetarian pula tidak perlu bimbang kerana terdapat banyak pilihan protein disediakan,” katanya.

Kata Aaron, falsafah dalam penyediaan poke bowl ini adalah memberi penekanan kepada pilihan apa dimakan, sumber dan cara penyediaannya dengan tatacara serta nasihat daripada pakar diet, Indra Balaratnam.

“Lebih penting pengguna tidak perlu bimbang kerana hidangan poke bowl menggunakan sayuran karbon yang dibekalkan pakar perladangan karbon janaan semula bandar dan pertanian iaitu perintis tumbuhan karbon pertama di Malaysia. Jadi sayur-sayuran yang dibekalkan bersih dan selamat tanpa bahan kimia,” katanya.


SAYURAN berwarna-warni untuk menyediakan hidangan poke bowl.

DIET POKE BOWL

Indra menjelaskan mengenai fakta pemakanan dan cara mengimbangkan makanan kita dalam satu mangkuk dan disesuaikan mengikut keperluan masing-masing.

Menurutnya, apa yang dimakan dalam sehari boleh mempengaruhi perasaan, kesejahteraan dan keadaan kesihatan.

Pilihan makanan boleh menambah baik mood, membuat individu rasa bertenaga dan melenyapkan rasa kembung serta senak perut.

“Dalam kehidupan moden kini, masing-masing sibuk dan sukar untuk mengambil makanan sihat. Jadi poke bowl adalah jawapannya kerana ia menawarkan peluang untuk mencampur dan memadankan pelbagai bahan seperti protein pejal, kacang, sayuran warna-warni, kekacang, bijian dan bijirin untuk membentuk kombinasi makanan yang memenuhi keperluan tubuh individu,” katanya.

Sajian yang menyenangkan, sepatutnya mengandungi kebanyakan nutrien yang diperlukan, mudah dimakan dan kesemuanya dalam satu mangkuk dengan sukatan yang betul.

4 JENIS MAKANAN POKE BOWL:

1. UNTUK INDIVIDU SIBUK (Gambar 1)

- Cendawan, keledek, ayam panggang, cili benggala, dan sos mangga.


GAMBAR 1 FOTO: Syakirah Azhar

Keledek (karbohidrat rendah lemak), ayam panggang (protein tanpa lemak, rendah lemak yang mudah dicerna terutama jika ingin berehat), cendawan (kaya antioksidan dan vitamin C) untuk meningkatkan sistem imun anda.

2. TENAGA (Gambar 2)

- Dori, brokoli, beras perang dan cendawan bersama sos lemon.


GAMBAR 2

Ikan tinggi protein manakala iodin diperlukan oleh kelenjar tiroid untuk pengeluaran hormon

tiroid yang membantu mengawal keseimbangan tenaga.

Beras perang kaya vitamin B untuk metabolisme tenaga. Brokoli mengandungi zat besi bagi meningkatkan sel darah merah.

3. VEGETARIAN (Gambar 3)

- Labu, kacang, cendawan, badam, epal hijau, kale bersama sos basil.


GAMBAR 3

Kacang (protein tumbuhan yang mengandungi lemak sihat), badam tinggi vitamin E, magnesium dan protein. Nutrisi penting untuk mencegah penyakit jantung.

Labu tinggi kandungan beta karotena, sejenis vitamin A yang kaya antioksidan untuk kulit. Ia adalah karbohidrat kompleks yang penting terutamanya jika anda tidak mahu makan nasi sepanjang hari.

4. AKTIF BERSENAM (Gambar 4)

- Badam, beras perang, kale, mangga, kacang walnut, tomato ceri, avokado, salmon, tomato dan lobak merah.


GAMBAR 4

Salmon kaya protein, omega 3 dan vitamin D untuk perkembangan otot. Biji rami, bijan dan walnut juga kaya protein.

Asid lemak omega 3 berpotensi membantu mengurangkan intensiti sakit otot ketika bersenam manakala tomato ceri dan mangga kaya vitamin C dan A membantu dalam pembaikan tisu otot.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 5:20 AM