BAYI jaundis akan mendapat penyusuan susu ibu sepenuhnya.
Oleh Siti Zarinah Sahib


ANTARA perkara yang menjadi kebimbangan ramai ibu selepas melahirkan cahaya mata adalah apabila si kecil mengalami jaundis atau demam kuning.

Walaupun ia nampak ringan namun berulang-alik ke hospital dan melihat darah anak diambil setiap hari adalah waktu yang amat menyeksakan.

Ini kerana dalam tempoh berpantang, si ibu seharusnya berada di atas katil sambil ditemani si kecil dan suami tersayang.

Itu belum termasuk bacaan bilirubin yang tinggi sehingga memaksa si kecil ditempatkan di wad. Sudah pasti tekanan emosi dirasai si ibu sehingga menyebabkan penghasilan susu turut terjejas sedangkan dalam tempoh ini pentingnya bayi diberikan susu ibu sekerap mungkin bagi meredakan demam kuningnya.

Perkara ini turut diakui jururawat berdaftar Kartina Ahmad Kamaruzzaman yang juga Pengurus Besar Mahmud Holdings Sdn Bhd yang pernah berhadapan tekanan akibat anaknya mengalami jaundis.

“Berulang-alik ke hospital kerana perlu menghantar susu ibu membuatkan saya letih dan tertekan. Lebih menyedihkan apabila saya perlu berpisah dengan anak pada waktu malam yang boleh menjejaskan penghasilan susu badan,” katanya.

Berikutan luahan yang sama dialami ramai ibu menyebabkan dia menyediakan perkhidmatan fototerapi di rumah bagi penghidap jaundis.


KARTINA bersama Faizal membincangkan kebaikan fototerapi di rumah.

Kata Kartina, selain susu ibu, fototerapi atau terapi menggunakan sinar ultra ungu khas adalah perawatan paling umum dan efektif untuk menurunkan kadar bilirubin pada bayi yang mengalami demam kuning.

“Beberapa kajian pernah dilakukan dan fototerapi dikenal pasti kaedah selamat menggunakan peralatan yang betul dan sistem pemantauan sepatutnya.

“Malangnya di Malaysia ada segelintir wanita yang masih percaya mengenai petua tradisional seperti menjemur anak di bawah cahaya matahari pagi, memberi minum susu kambing, memberi air anggur dan memandikan dengan herba mampu mempercepatkan penurunan bilirubin.

“Sebenarnya ia tidak terbukti berkesan, malah dalam sesetengah keadaan akan menyebabkan demam kuning semakin tinggi,” katanya.

Berhasrat memberikan maklumat yang tepat kepada wanita, Kartina menubuhkan pasukan Blue Medic Light yang memberikan perkhidmatan fototerapi di rumah selama dua hari mengikut garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Namun sekiranya si ibu berasakan tempoh dua hari belum mencukupi mereka boleh memanjangkan tempoh perkhidmatan mengikut kesesuaian dan tahap jaundis bayi,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut menurut Perunding Kanan Blue Medic, Faizal Shazarin, bayi yang boleh menerima khidmat fototerapi di rumah adalah mereka yang tidak berisiko tinggi atau selepas mendapat persetujuan doktor.

“Satu saringan akan dijalankan sebelum pasukan kami memberikan perkhidmatan fototerapi kepada bayi. Jururawat akan memberikan khidmat nasihat seperti cara penggunaan alatan ketika fototerapi seperti transcutaneous bilirubinometer yang berfungsi mengesan tahap bacaan Jaundis.

“Selain itu jadual pemberian susu ibu dan pemerhatian ke atas bayi turut disediakan sepanjang dua hari. Ini akan membantu ibu bapa untuk lebih prihatin dan lebih memahami setiap perubahan dan perkembangan kesihatan bayi mereka sekali gus mempercepatkan proses penyembuhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 5:00 AM