Intan Mas Ayu Shahimi


MAKANAN bertin, kerepek, jajan, hidangan di rumah, makan di restoran, sos, kicap, ikan masin, telur jeruk, sebut apa saja makanan yang terlintas di fikiran, majoriti tinggi kandungan garam atau sodium.

Paling tidak munasabah adalah ‘makanan sihat’ yang dijual pengusaha, kononnya untuk membantu orang ramai menikmati hidangan berkualiti dan seimbang, tetapi diperasakan dengan sempurna.

Menurut pakar pemakanan, Siti Sarah Mohd Juzup, lazimnya hidangan enak dimasak di restoran atau dijual di pasaran hari ini memang mengandungi garam yang tinggi.

“Tidak kira sama ada ia datang dari dapur restoran atau kedai dan pasar raya, kebanyakannya diperasakan dengan garam atau ditambah monosodium glutamat (MSG) untuk mendapatkan rasa enak.

“Inilah yang melatih lidah kita untuk sentiasa menikmati hidangan sedap. Cuba perhatikan komen mereka yang terpaksa tinggal di hospital untuk rawatan.

“Ramai membandingkan hidangan hospital dengan apa yang mereka boleh dapat di luar. Lauk di wad dikatakan tawar, tidak menarik atau langsung tak sedap hingga menutup selera mereka.

“Keadaan sebegini berlaku kerana lidah sudah biasa dengan makanan sedap. Sedangkan rasa sedap (kerana mengandungi banyak garam) bukanlah sesuatu yang baik. Mungkin ramai tidak tahu, untuk hidangan pesakit di hospital, jumlah garam dan gula digunakan dalam hidangan akan disukat terlebih dulu,” katanya.

APA FUNGSI GARAM?

Menjelaskan fizikal dan asal usul garam, kata Siti Sarah, sebatian kristal putih yang terhasil daripada air laut itu dikenali sebagai natrium klorida. Ia memberi rasa dan banyak digunakan dalam industri makanan, perkilangan serta kecantikan.

“Jumlah pengambilan garam disarankan untuk individu adalah lima gram iaitu bersamaan satu sudu teh sehari. Di dalamnya mengandungi kira-kira 2,000 miligram (mg) sodium.

“Bagaimanapun, melihat kepada senario dan gaya hidup masyarakat kini, majoriti masyarakat kita dianggarkan mengambil garam dalam jumlah berlebihan.

“Bayangkan, dalam makanan semula jadi seperti ayam dan ikan sudah ada garam. Kemudian, ketika proses memasak, kita tambah lagi garam untuk memperkayakan rasa hidangan.

“Jadi, tidak hairanlah kalau ada yang mengkritik makanan di hospital tidak sedap. Saban hari lidah kita sudah terbiasa disogok dengan makanan enak dan tinggi garam,” katanya.

Sekalipun garam memberi impak kurang sihat dalam diet seharian, ia masih memainkan peranan penting dalam diri setiap orang.

“Natrium memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan dan sekitar sel tubuh termasuk cecair darah.

“Ia juga membantu mengawal fungsi otot dan saraf. Sebab itulah kita disarankan mengambil sekurang-kurangnya lima gram garam (satu sudu teh) sehari. Di dalamnya ada kira-kira 2,000 mg sodium yang diperlukan tubuh.

“Selebihnya, cuba gantikan pengambilan garam berlebihan dengan menggunakan rempah ratus dan herba semula jadi seperti lada hitam, lada sulah atau bawang putih,” katanya.


SITI Sarah menunjukkan jumlah sodium dalam makanan.

SEMUA GARAM SAMA

Meneliti jenis garam yang ada di pasaran, kata Siti Sarah, kandungan setiap jenis garam tidak banyak berbeza, bahkan membawa keburukan sama jika diambil berlebihan.

“Tidak kira sama ada garam biasa, Himalaya, laut, kosher, celtic atau buluh, yang membezakannya adalah nama dan kandungan mineral di dalamnya.

“Jumlah yang disarankan untuk tubuh hanya 1,500mg ke 2,000mg. Jika berlebihan, ia tetap memburukkan kesihatan. Orang yang terlebih makan garam dan mempunyai sejarah hipertensi boleh mengalami tekanan darah tinggi.

“Namun orang yang kurang garam pula mungkin akan berasa pening, letih dan keliru. Jika dibiarkan, mereka berisiko mengalami sawan, koma dan akhirnya meninggal dunia,” katanya.

Jelasnya, keadaan kurang garam biasa berlaku dalam kalangan warga emas dalam jagaan berikutan sakit tua. Ada juga kes membabitkan pesakit hipertensi yang mengambil ubat tidak mengikut dos ditetapkan.

“Selain itu, masalah kurang sodium dalam tubuh juga boleh dialami mereka yang mengambil ubat antidepresan, pesakit pneumonia, jangkitan kuman pada pundi kencing atau dehidrasi.

“Bagi mereka yang sihat, kekurangan sodium dalam tubuh boleh terjadi sekiranya aktif bersukan atau melakukan aktiviti dalam cuaca panas terik. Untuk pencegahan, minum air di antara waktu sukan atau aktiviti untuk menggantikan semula elektrolit dalam badan.

“Perkara sama turut dinasihatkan kepada mereka yang mengalami cirit-birit berpanjangan. Rawat diri dengan pengambilan garam rehidrasi oral (ORS) untuk mengelak kekurangan sodium dalam tubuh,” katanya.

ELAK TEH KURUS

Melihat keterujaan ramai wanita kini untuk tampil kurus dan langsing, Siti Sarah mengingatkan supaya tidak mudah terjebak dengan pengambilan sebarang jenis teh detoks.

“Banyak pengusaha dan peniaga mendakwa teh yang dijual mampu menyahkan toksik dalam tubuh, membuang lemak dan mendorong pengamalnya untuk kurus.

“Kadangkala kita lihat memang hasilnya boleh kurus. Tapi realitinya teh sebegini membuang mineral dan vitamin dalam badan. Kesannya, yang minum akan jadi lemah, lesu tidak bermaya.

“Ada juga yang dijual dalam bentuk pil, tetapi pada akhirnya boleh menyebabkan kematian berikutan kehilangan sodium dan kurangnya elektrolit dalam badan.

“Waspadalah dalam pengambilan diet dan gaya hidup. Walaupun kita lihat jumlah sodium diperlukan tubuh sangat kecil, jika kurang, ia boleh memberi kesan yang sangat besar,” katanya.

MAKANAN TINGGI GARAM

1. Makanan dalam tin - sardin, kacang panggang, tuna, cendawan

2. Pelbagai sos - cili, tiram, tomato

3. Kicap - pekat manis, masin, cair

4. Makanan sejuk beku - karipap segera, samosa

5. Makanan diawet - ikan kering, telur masin, kobis jeruk

6. Mi atau bubur segera

7. Pes segera

8. Stok ayam

9. Hidangan di restoran dan restoran makanan segera

KESAN DIET TINGGI GARAM

1. Masalah jantung

2. Tekanan darah tinggi

3. Bengkak tubuh

4. Osteoporosis

5. Sukar mengawal nafsu makan

6. Penyahhidratan

7. Gangguan pencernaan

KESAN KURANG GARAM

1. Hiponatremia (kandungan garam dalam darah terlalu rendah)

2. Sakit kepala, muntah, penat

3. Gangguan otot

4. Gangguan ginjal

5. Gangguan saraf

6. Kejang/sawan

7. Pengsan

8. Hilang ingatan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 6:30 AM