NURUL Batrisyia organisasi antarabangsa AIESEC
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


USIANYA baru menginjak 19 tahun ketika gadis ini membuat keputusan ‘gila’ menyertai kembara solo sebagai sukarelawan nun jauh beribu-ribu batu di rantau orang bersendirian.

Menerusi organisasi antarabangsa AIESEC yang memanfaatkan potensi golongan muda menerusi kerja sukarelawan di peringkat global, Nurul Batrisyia Romizan, 20, antara sukarelawan belia yang berjaya menempuh cabaran selama lebih enam minggu di Alexandria, Mesir tahun lalu.

Pengalaman berbakti di negara orang katanya, antara senarai impiannya sejak di bangku sekolah bahkan ketika mengikuti pengajian Asasi, dia tidak mensia-siakan masa yang ada untuk terbabit dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan.

Selama setahun Nurul Batrisyia aktif menyertai Projek Pendidikan untuk Pelarian Rohingya di bawah School Achiever Scholarship Award daripada HELP University.

“Dari dulu lagi saya ingin menyertai program sukarelawan global dianjurkan AIESEC, tetapi tidak pernah fikir berpeluang berbuat demikian hinggalah saya nekad memohonnya di laman web organisasi itu.

“Selepas berbincang dengan ibu bapa dan meminta persetujuan mereka, saya menghantar resume dan esei ringkas mengapa saya ingin menjadi sebahagian daripada AIESEC.

“Terdapat pilihan negara mana dan misi apa yang belia mahu ambil bahagian. Saya sentiasa bersemangat mahu membantu pelarian menerima peluang pendidikan.

KETIKA menyertai misi kemanusiaan di Vietnam.

“Oleh itu, dalam pangkalan data AIESEC, antara projek utama untuk pendidikan pelarian adalah di Alexandria, Mesir. Saya memutuskan mahu menyertai misi Pendidikan untuk Pelarian Syria di pusat pembelajaran yang disediakan untuk mereka di bandar itu,” katanya.

Nurul Batrisyia berjaya dalam temu duga dan diterima masuk dalam projek itu. Tempoh persediaan sangat singkat, hanya dua hari selepas peperiksaan akhir pengajian Asasinya, dia menghadiri seminar persiapan kebangsaan AIESEC bagi melatih peserta untuk misi yang akan disertai.

Menurutnya, cabaran terbesar yang perlu dilaluinya adalah masalah komunikasi kerana dia menjangkakan penterjemah akan ada bersama memandangkan dia ditugaskan mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Matematik untuk pelarian kanak-kanak Syria di situ.

Sangkaannya meleset, tiada penterjemah disediakan dan guru di pusat itu hanya boleh bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

Katanya, minggu pertama dirasakan begitu sukar mengajar kanak-kanak itu dan dia terpaksa menggunakan penterjemahan dalam talian untuk memahami sesuatu perkataan dan ayat.

“Malangnya, tiada liputan Internet di pusat itu dan saya perlu bawa telefon bimbit dan salah seorang guru keluar ke jalan raya berhampiran menggunakan data Internet untuk menterjemah apa-apa perkataan yang tidak difahami.

“Saya akan kumpul soalan dan menggunakan khidmat terjemahan Google. Dari situ, guru akan balas semula dengan cara sama. Itu pun bukan terjemahan tepat, jadi memang ambil masa sikit untuk biasakan diri mencari perkataan dan ayat Inggeris yang boleh membawa maksud tepat di dalam bahasa Arab.

“Alhamdulillah pada akhir minggu kedua, kelas berlangsung dengan lancar dan saya pula semakin rapat dengan kanak-kanak ini berbanding ketika mula-mula mengajar kerana halangan bahasa,” katanya.

Misinya ke negara itu disifatkan lebih mencabar memandangkan program disertainya bermula pada 30 April, iaitu beberapa hari sebelum Ramadan.

Nurul Batrisyia berkata, berpuasa di Mesir juga lebih mencabar berbanding di negara sendiri kerana perbezaan cuaca namun secara perlahan-lahan dia dapat membiasakan diri.

Tambahan pula katanya, jarak tempat tinggalnya dengan pusat itu hampir satu jam perjalanan, ditambah sistem trafik di negara itu yang agak mencabar, hampir saja gadis manis ini berputus asa.

Beberapa hari pertama ketika menjejakkan kaki di negara itu, Nurul Batrisyia langsung tidak berani keluar bersendirian membeli makanan kerana bimbang dilanggar kenderaan ketika berjalan di jalan raya berhampiran.

Mujurlah katanya, dia tinggal bersama sekumpulan wanita dari negara lain yang sudah terbiasa dengan cara hidup masyarakat Mesir yang banyak mengajarnya hingga mahir dengan kehidupan di sana.

“Teman sebilik saya, seorang wanita berusia 30 tahun dari Russia yang gemar berjalan banyak mengajar saya cara untuk melintas jalan raya utama dengan mudah.

“Seorang lagi teman serumah dari Columbia pula tidak gemar berjalan, jadi dia pula mengajar saya menggunakan kenderaan awam seperti van mini dan tuk tuk.

Bagaimanapun katanya, pengalaman sekali seumur hidup itu pastinya menjadi kenangan terindah lebih-lebih lagi apabila anak pelarian Syria yang diajar dapat membaca dan menulis dalam Bahasa Inggeris. Malah mereka juga menunjukkan kebolehan dalam mengira yang begitu membanggakan.

Katanya, setiap kesukaran yang ditempuhinya termasuk bekerja tanpa bayaran setiap hari untuk kanak-kanak itu dan kekangan bahasa dirasakan begitu berbaloi apabila melihat peningkatan anak didiknya.

Dia bersyukur kerana ibu bapa memberi sokongan penuh walaupun pada awalnya mereka ragu-ragu untuk melepaskannya melakukan kerja sukarela di negara orang bersendirian.

“Tapi, saya rasa mereka mula faham betapa bersemangat dan komitednya saya untuk menggapai impian hidup. Ibu bapa juga tahu saya mampu uruskan diri dan berdikari cuma soal keselamatan masih menjadi keutamaan mereka.

“Seminggu sebelum berangkat ke Mesir, datuk saya meninggal dunia kerana kanser. Bayangkan kesedihan kehilangan orang yang sangat saya sayangi. Ketika itu saya sebenarnya berperang dengan emosi dan mental, sama ada mahu meneruskan misi sukarela itu atau tidak,” katanya.

Nurul Batrisyia yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Universiti Cyberjaya masih meneruskan minatnya dalam program kemanusiaan dan kesukarelawanan antaranya Jelajah Penyayang 2.0 ke Perkampungan Orang Asli Pos Kuala Mu, Perak pada Januari lalu dan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Biro Kutipan Dana dalam misi di bawah Kelab Penyayang universiti itu.

Ogos lalu, Nurul Batrisyia turut berpeluang menyertai misi di Vietnam menerusi program Saigon Outreach of Unity and Love (SOUL) sebagai Ketua Biro Servis Komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 5:15 AM