Oleh Aida Adilah Mat


BIAR apa pun terjadi kepada dirinya, Norazeen Azhar, 33, tidak akan mengalah dan bertekad terus berusaha menjana pendapatan bagi membantu keluarganya.

Raut wajahnya nampak tenang, namun di sebalik keayuan itu terselit seribu ujian yang datang bertimpa.

Kisah duka Norazeen bermula pada 2008 apabila terbabit dengan kemalangan kereta hingga mengakibatkan dia hilang ingatan hampir setahun.

Ekoran daripada itu, Norazeen atau lebih mesra disapa dengan panggilan Reen dalam kalangan teman rapat berkata terpaksa mengengsot menggunakan papan seluncur kerana tidak mampu membeli kerusi roda untuk bergerak kesan kemalangan itu.

“Kemalangan itu menyebabkan kaki dan rahang saya patah. Pada mulanya saya ingat deman tapi mak saya (Mariam Isahak, 56) memaklumkan saya kemalangan.

“Saya bukan daripada keluarga senang dan memang tak dapat membeli kerusi roda, jadi untuk bergerak terpaksa menggunakan papan seluncur,” katanya terpaksa menggunakan kerusi roda sepenuhnya pada 2017.

Tidak mahu terus bergantung mengenangkan nasib, Reen gagahi juga bangun dan berjalan, biarpun tidak sepantas ketika normal.

Namun ibu yang mempunyai seorang cahaya mata ini tidak pernah mengalah. Dia menggagahkan diri datang ke Kuala Lumpur menaiki bas pada 2010 untuk mencari kerja bagi menampung keluarga di kampung biarpun keadaan belum pulih sepenuhnya.

“Saya tidak boleh berada di kampung mengenangkan nasib. Mak saya perlu wang, keluarga bergantung kepada saya, jadi saya perlu mencari kerja.

“Mujur masa itu saya mendapat kerja di kedai telefon dan ketika itulah saya bertemu dengan suami saya. Alhamdulillah, rezeki saya murah dan dapat bekerja di tempat lain.

“Bagaimanapun, saya terpaksa berhenti kerja tahun lalu kerana mengandungkan anak ketiga dan doktor menasihatkan saya banyak berehat kerana mempunyai GBS (Group B Streptococcus) dalam rahim.

“Pada ketika itulah saya mendapat idea untuk berniaga dan selepas berbincang dengan suami, saya memilih menjual tudung dalam talian di Facebook.

“Tapi jika boleh saya mahu membuka kedai untuk menjalankan perniagaan tudung, ini kerana maklum balas daripada pelanggan sangat positif dan jika mempunyai kedai sendiri senanglah pelanggan tetap datang membuat pilihan kerana jika menerusi Facebook ia agak terhad,” katanya yang menjual tudung bawal dengan fabriknya dari Jepun.

DIA DIUJI LAGI

Reen bagaimanapun terus diuji. Dia hanya sempat bersama anak ketiganya, Na’aila Farah Falisha selama sembilan hari sebelum dijemput Ilahi manakala anak keduanya meninggal di dalam kandungan.

Perkara itu membuatkan Reen mengalami tekanan hingga terpaksa menjalani rawatan mental.

Ditanya apa kunci kekuatan untuk dia bangkit semula, Reen, 33, berkata, anak sulungnya Adam Muhammad Adam Arsyad, 6, dan suami Mohamad Hafiz Saudin, 31, menjadi tunjang kekuatan kepadanya untuk bangkit.

Katanya, Adam juga seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) hiperaktif.

“Saya kena kuat untuk Adam, jika tidak siapa yang akan menjaga dia. Ramai yang tak sanggup menjaga Adam yang ada kalanya sukar dikawal apabila emosi marah menguasai dirinya hingga memukul orang sekeliling.

“Jadi saya fikir berniaga jalan terbaik untuk saya kerana keadaan tidak mengizinkan untuk bekerja di sektor swasta mahupun kerajaan, di samping itu saya boleh menjaga Adam sepenuh masa,” katanya.

Bermula dengan modal RM100 berniaga tudung di Facebook, kini dia memasang impian untuk mengembangkan sayapnya dengan membuka kios ataupun kedai kerana memudahkannya untuk menyimpan barang selain tidak perlu terlalu banyak bergerak jika membuka gerai pameran.

Bagaimanapun, pendapatan tidak tetap itu dan modal yang terhad menyekat impiannya untuk mengembangkan perniagaan itu.

Reen diuji lagi apabila bulan lalu dia melakukan pemeriksaan dan doktor mengesahkan tulang belakangnya patah serta memerlukan kos rawatan tinggi.

“Saya mula rasa sakit di bahagian belakang sejak 2017. Ketika itu masih boleh bertahan tapi hari ini sakit itu semakin bertambah dan menyukarkan pergerakan.

“Rawatan perlu dilakukan segera kerana saya perlu berusaha menambah pendapatan keluarga. Keluarga memerlukan saya. Sebab itu saya mahu mengembangkan perniagaan ini kerana bantuan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) tidak mencukupi untuk menampung keperluan saya dan keluarga,” katanya.

MINTA BANTUAN PERKESO

Reen berkata, dia kini meminta bantuan daripada Perkeso bagi membantu menjalani rawatan untuk kembali berdiri.

Namun ia perlu menjalani rawatan MRI bagi mengenal pasti keadaan tulangnya.

Bagaimanapun, untuk mempercepatkan proses berkenaan ia hanya boleh dilakukan di hospital swasta.

“Saya sudah berjumpa doktor kerajaan. Untuk proses MRI itu lambat dan terpaksa menunggu sehingga dua tahun. Perkeso pula menyarankan saya mempercepatkan proses MRI.

“Namun proses itu mungkin boleh dipercepatkan jika ke hospital swasta tapi saya pula tidak mampu kerana kos rawatan yang tinggi dan keadaan kewangan pula terhad, jadi sekarang terpaksa bertahan dengan ubat diberikan doktor,” katanya yang berharap ada pihak sudi tampil membantunya mempercepatkan proses rawatan.


ANTARA koleksi tudung jualan Norazeen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:00 AM