SENGGUGUT. Gambar hiasan


KEDATANGAN haid bagi wanita normal tidak semestinya dimulai dengan pendarahan, tetapi ia boleh menyebabkan sakit serta rasa tidak selesa di bahagian abdomen, rasa kembung perut dan sakit kepala bagi sesetengah wanita.

Selain rasa sakit di bahagian bawah perut, ramai wanita mengadu mengalami lenguh dan kesakitan pada bahagian belakang

serta tengah pinggang.

Ia bermula beberapa hari sebelum atau selepas kedatangan haid dan akan hilang dalam tempoh beberapa hari. Ia tidak mendatangkan bahaya dan bukanlah tanda sebarang masalah besar.

Rasa tidak selesa sebegini selalunya berlaku pada peringkat sederhana, apabila wanita terbabit masih boleh mengabaikannya tetapi ada juga sesetengahnya

yang mengalami kesakitan terlalu kuat sehingga mengganggu aktiviti seharian atau terpaksa berbaring sepanjang masa.

Pengeluaran hormon yang banyak akan menyebabkan pengecutan rahim secara berlebihan dan ia menyebabkan sakit, bukan saja pada bahagian bawah perut yang kuat, tetapi juga pada bahagian belakang pinggang.

Dalam kebanyakan kes, sakit yang terlalu kuat boleh jadi disebabkan penyakit lain lebih serius seperti jangkitan kuman, endometriosis dan fibroid yang dapat dikesan apabila wanita itu senggugut melampau pada setiap bulan sehingga terpaksa mengambil beberapa hari cuti kerana tidak mampu melakukan kerja.

Ada beberapa kaedah yang boleh diamalkan untuk mengelakkan rasa senggugut yang teruk antaranya:

1. Melakukan senaman ringan

Pemerhatian dan kajian kesihatan menunjukkan wanita yang melakukan senaman ringan mendapat manfaat kelegaan bagi sakit senggugut yang dirasai.

2. Amal pemakanan seimbang

Mengekalkan pemakanan yang seimbang dan sihat dengan mengambil makanan tambahan yang mempunyai nutrisi vitamin B dan magnesium.

3. Minum air hingga dua liter

Minum air secukupnya, sekurang-kurangnya satu setengah hingga dua liter dalam sehari. Teh suam tanpa gula juga boleh membantu melegakan senggugut.

4. Tuam guna beg kulit

Boleh tuam menggunakan beg plastik atau beg kulit yang berisi air suam di bahagian bawah perut untuk mendapatkan kelegaan.

5. Mandi air suam

Mandi air suam juga dikatakan dapat mengurangkan ketidakselesaan akibat senggugut.

6. Tekanan

Tekanan juga dikatakan boleh menyebabkan senggugut. Jadi pelajari kaedah untuk menguruskan tekanan dengan baik.

7. Diet

Bagi sesetengah wanita, diet juga memainkan peranan. Kurangkan atau elakkan makanan manis, berlemak, makanan berproses dan mengandungi kafein kerana ia boleh merangsang sakit senggugut. Antara makanan yang disarankan adalah kekacang, badan, tomato, lada benggala dan sayur berdaun hijau gelap.

8. Halia

Halia juga dikatakan dapat membantu melegakan masalah senggugut khususnya sebelum haid. Jadi, masukkan lebih halia dalam masakan anda. Boleh juga minum teh halia yang disediakan sendiri.

9. Urutan

Urutan pada abdomen selama lima minit sehari boleh membantu melegakan senggugut kerana ia menggalakkan aliran darah.

10. Ambil ubat

Akhir sekali, boleh mengambil ubat atau pil penahan sakit yang ringan. Jika tidak berkesan, boleh gunakan ubat penahan sakit yang lebih baik seperti ibuprofen atau naproxen beberapa hari sebelum kedatangan haid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:00 AM