MASIH berhubung dengan keluarga angkat di Tajima, Jepun.
Oleh Aida Adilah Mat


MEMPUNYAI pakej lengkap, Nur Adrina Kamaruddin bijak membawa diri sesuai dengan karakter remaja kontemporari yang memiliki cita-cita menjadi doktor untuk menabur bakti kepada mereka yang memerlukan.

Bukan saja bijak dalam pelajaran, malah gadis comel ini juga aktif dengan kegiatan sukarelawan dan kebudayaan yang memperlihatkan ketelitiannya merancang bagi memanfaatkan masa mudanya.

Nur Adrina, gadis manis berusia 20 tahun ini amat meminati sains kerana ia membawanya mendekati alam yang sangat berkait antara satu sama lain.

Ia antara sebab yang mendorongnya memilih menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di Universiti Cyberjaya.

Katanya, sains membawanya mendekati alam dan yang penting belajar sistem dalam badan serta bagaimana semua itu berkait bagi memastikan seseorang itu sentiasa kekal sihat.

“Bagi saya, ilmu sains sangat mengujakan. Ia boleh membantu saya mencapai cita-cita membantu golongan yang memerlukan mendapat rawatan.

“Saya juga berharap dapat menemukan ubat dan vaksin untuk menyembuhkan penyakit serius yang wujud seiring kemajuan ekonomi sekarang ini,” katanya.

Melihat perwatakannya pasti ramai yang menyangka Nur Adrina seorang ‘ulat buku’ dan gemar menghabiskan masa di rumah dengan meneliti ilmu kedoktoran.

Namun jika anda mendekati pemilik wajah putih mulus ini, dia sebenarnya aktif dalam pelbagai bidang dan pernah ke luar negara menyertai program pertukaran pelajar seawal usianya 12 tahun.

Katanya, program seperti itu sebenarnya mengajar dia menjadi seorang yang lebih matang daripada usia.

Banyak yang dipelajarinya dan pengalaman itu tidak dapat dilupakan ketika menyertai program berkenaan.

“Selain belajar, saya seorang yang aktif dalam program luar sejak di sekolah rendah lagi. Seawal usia 12 tahun saya mengikuti program pertukaran pelajar selama seminggu dengan pelajar dari Raffles Girls’ School di Singapura. Ia antara sekolah terkemuka di sana.

“Pada umur 13 tahun, saya sekali lagi mengikuti lagi program pertukaran pelajar ke Jepun selama sebulan. Seorang diri dan juga mewakili Kelantan. Ia antara kenangan yang tidak dapat dilupakan.

“Belajar kebudayaan dan cara kehidupan penduduk Jepun amat mengagumkan. Hingga kini hubungan saya dengan keluarga angkat yang tinggal di Tajima, Jepun masih utuh,” katanya.

Menurutnya, dalam kehidupan serba moden ini, setiap remaja perlu berani melakukan anjakan paradigma yang boleh membantu mereka mendepani cabaran mendatang.

“Jangan takut mencuba perkara baharu, keluar dari zon selesa untuk mematangkan diri kita. Sebab itu saya suka menyertai program seperti pertukaran pelajar kerana ia memberi kesedaran kepada kita, mendidik untuk tidak mementingkan diri.

“Perkara itu membuatkan saya sedar untuk sentiasa merendah diri. Jika kita rasa kita yang terbaik, sebenarnya ada lagi yang lebih baik. Sekiranya kita rasa kita susah, ada lagi yang lebih susah.

“Hidup di dunia ini bukan untuk memuaskan hati sendiri semata-mata. Perlu membantu antara satu sama lain. Sekiranya takut untuk terus keluar negara, ikuti atau sertai program di peringkat tempatan dulu.

“Besar impaknya kepada negara sekiranya semua remaja sedar perkara sebegini dan lebih aktif dalam membentuk hubungan yang lebih baik antara satu sama lain,” katanya.

KENANGAN TIDAK DILUPAKAN

Berpeluang ke Jepun untuk program pertukaran pelajar ketika berusia 13 tahun cukup meninggalkan kesan kepada dirinya.

Dia percaya salah satu sebab program seumpama itu diwujudkan adalah untuk membentuk keamanan, keharmonian antara negara dan menjalin hubungan yang kukuh selain menghapuskan tanggapan buruk mengenai Malaysia.

“Sebenarnya banyak mendapat manfaat yang kita dapat apabila berpeluang melihat budaya, tatatertib dan perilaku rakyat negara maju. Dari situ saya sedar banyak lagi yang kita perlu lakukan untuk mencapai status negara maju.

“Selain ke Jepun dan Singapura, program ke kemanusiaan ke Vietnam juga memberi impak yang cukup besar kepada saya. Saya melihat keadaan rakyat yang susah dan fakir di Vietnam.

“Ia sangat memberi kesan dan memberi semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita agar dapat membantu rakyat seperti itu.

“Inilah sebabnya saya sangat menggalakkan semua remaja untuk menyertai program pertukaran pelajar dan aktiviti kemanusiaan.

“Dua program ini akan memberi impak yang sangat berbeza dalam kehidupan kita. Jangan hanya fokus kepada pelajaran dalam kelas kerana ilmu yang kita dapat dengan menyertai aktiviti sebegini sebenarnya tidak ternilai dan tiada di dalam kelas. Ia mungkin menjadi ilmu yang mengubah pandangan kita terhadap erti kehidupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:10 AM