BARISAN pemenang dalam cabaran memasak suku-suku separuh Ayam Brand.
Oleh Aida Adilah Mat


RASANYA ramai wanita yang sentiasa dibelenggu rasa tidak puas hati dengan berat badan sendiri. Hendak disukat setiap hari, tiada alat penimbang di rumah dan malu pula jika menggunakan alat yang ada di tempat awam.

Sebenarnya ada cara yang mudah untuk mengetahui adakah anda mengalami masalah berat badan berlebihan.

Cuba berdiri dan tundukkan sedikit kepala ke bawah. Adakah anda boleh melihat jari kaki anda tanpa membongkokkan badan.

Jika boleh, bermakna berat badan anda masih terkawal. Jika tidak, itu tandanya sudah sampai masanya untuk mula mengawal pemakanan dan mula bersenam.

Itu cara mudah yang diajar oleh pakar pemakanan, Nur Hayati Azmi ketika berkongsi cara pemakanan sihat mengikut konsep suku-suku-separuh.

Ia adalah pendekatan yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menggalakkan rakyat negara ini mengamalkan gaya pemakanan sihat bagi mengelakkan kecenderungan terhadap obesiti.

Suku-suku-separuh bermakna suku daripada pinggan diisi dengan sumber karbohidrat (contohnya nasi), suku lagi untuk sumber protein (ikan, ayam atau daging) dan separuh untuk sumber serat iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini cara mudah untuk membahagikan jenis makanan mengikut keperluan badan.

Menurut Economist Intelligance Unit’s Trackling Obesity dalam laporan ASEAN, tahap obesiti di Malaysia adalah 13.3 peratus, iaitu yang tertinggi di Asia Tenggara.

Malaysia turut menghuni tangga ketiga teratas di Asia yang mempunyai 11.5 peratus kanak-kanak yang gemuk berusia antara enam bulan hingga 12 tahun.

Nur Hayati berkata, konsep suku-suku-separuh ini wajar menjadi amalan agar masalah obesiti dapat diatasi ataupun dikurangkan.

“Untuk makanan yang seimbang satu perempat pinggan perlu mengandung protein yang boleh didapati dalam ikan, kacang, daging, ayam atau telur. Satu perempat lagi diisi karbohidrat daripada nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin penuh dalam bahagian kecil dan separuh pinggan dikhususkan untuk sayur-sayuran dan buah-buahan berukuran tapak tangan.

“Ini penting untuk anda mengimbangi jumlah makanan yang diambil terutama pada waktu makan tengah hari dan malam. Pengambilan makanan mengikut konsep suku-suku-separuh ini bukan hanya untuk dewasa dan perlu juga dipraktikkan kepada kanak-kanak,” katanya.

Nur Hayati berkata, kanak-kanak di Malaysia turut menghuni tangga kedua tertinggi kadar obesitinya di Asia Tenggara. Malah ada yang mempunyai bacaan gula dalam darah melebihi 50.

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk melihat pengambilan makanan sihat dalam kalangan kanak-kanak ini.

Bagi menyokong kempen nutrisi seimbang di seluruh negara untuk melawan obesiti terutama dalam kalangan kanak-kanak, Ayam Brand menjalankan kerjasama dengan KPJ Ampang Putri menerusi Kempen Komuniti Penyayang Ayam Brand.

Menurut Pengerusinya, Tunku Datuk Mu’tamir Tunku Tan Sri Mohamed, jenama itu sudah terbabit dalam menjayakan kempen komuniti selama 12 tahun dan menyumbang 1.76 juta makanan sihat untuk kebajikan, menyediakan makanan berkhasiat kepada lebih 20,000 orang daripada 482 rumah amal dan NGO.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 5:00 AM