KEMPEN Jom Tukar menekankan kepentingan penggunaan mesra alam sekitar.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


KEHADIRAN serangga seperti lipas, semut dan lalat di rumah memang menjengkelkan, jadi penyelesaian pantas pastinya dengan mendapatkan racun makhluk perosak yang pelbagai jenis di pasaran.

Bagaimanapun, kaedah penggunaan, penyimpanan dan kawalannya perlu dititikberatkan terutama kepada kanak-kanak.

Ramai ibu bapa tidak sedar anak kecil mungkin mangsa utama terdedah kepada bahaya keracunan lebih-lebih lagi tabiat mereka suka memasukkan apa-apa saja yang ditemui ke dalam mulut.

Oleh itu langkah keselamatan perlu diberi perhatian apabila menggunakan racun makhluk perosak. Kebanyakan racun makhluk perosak bukan saja toksik terhadap organisma sasaran, tetapi juga kepada manusia dan haiwan peliharaan di rumah.

Faktor utama yang perlu diberi perhatian adalah cara racun terbabit memasuki tubuh manusia sama ada menerusi mulut, kulit dan saluran pernafasan.

Sama ada racun serangga yang digunakan di rumah dalam bentuk sediaan semburan (aerosol), lingkaran dan kepingan (mat), ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap pencegahan dan keselamatan penggunaannya.

Menyedari bahaya racun serangga kimia kepada penghuni seisi rumah dan kepentingan menjaga keselamatan alam sekitar, pengeluar produk mencegah serangga berasaskan serai wangi, Afy Haniff baru-baru ini bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka dalam menjayakan Kempen Jom Tukar bermula dari Oktober hingga Mei 2020 di seluruh Malaysia.

Kempen yang juga selaras dengan Hari Alam Sekitar Negara dan Hari Ozon Sedunia itu menawarkan pertukaran dengan membawa botol kosong aerosol racun serangga kepada produk serai wangi Swipel secara percuma di tempat terpilih.

Menurut Pengarah Urusannya, Amirul Firdaus Yunus, selain menawarkan alternatif lebih baik, kempen itu juga memberi kesedaran mengenai hak kehidupan makhluk Tuhan yang mempunyai kepentingan dalam ekosistem hidupan semula jadi.

Katanya, sebanyak 20,000 botol akan diagihkan secara percuma di seluruh Malaysia sepanjang Program Jom Tukar berlangsung dengan setiap tempat pertukaran terhad kepada 200 botol.

“Sepanjang Oktober hingga November lalu kempen ini dijalankan empat kali di kawasan Melaka diikuti Sarawak, Kuala Lumpur, Johor, Kelantan dan Pulau Pinang bermula bulan ini,” katanya.

Langkah pencegahan dan keselamatan penggunaan racun di rumah:

LANGKAH-LANGKAH SIMPAN RACUN

- Racun hendaklah disimpan dengan selamat sebelum dan selepas digunakan untuk menggelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

- Seelok-eloknya simpan di tempat yang tinggi dan tidak dapat dilihat oleh kanak-kanak.

- Tempat simpanan yang berkunci dan jangan simpan bersama bahan-bahan makanan dan minuman.

- Simpan dalam bekas asal racun itu dan jangan pindahkan ke dalam bekas lain.

- Tempat racun diletakkan hendaklah tidak mudah dilihat oleh kanak-kanak dan haiwan peliharaan.

- Gunakan racun semburan 10 hingga 15 minit sebelum masuk tidur.

- Sebelum menggunakan racun semburan pastikan kanak-kanak tiada di situ dan segala permainan disimpan ke tempat lain.

- Pastikan ubat nyamuk (lingkaran) digunakan dalam bekas yang sesuai dan jauhkan dari sebaran bahan yang mudah terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 5:00 AM